Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa pembukaan ibu pejabat kenderaan elektrik Tesla di Selangor tahun ini.
Dia membuat pengumuman itu selepas mengadakan pertemuan secara maya bersama pemilik Tesla yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk.
Turut hadir pada pertemuan itu adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
“Saya mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat di Malaysia dan juga kesediaan Elon Musk untuk datang ke Malaysia.
“Turut mengucap tahniah dan dokongan kerajaan atas pembukaan ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini,” kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.
Syarikat pereka dan pengilang kenderaan elektrik yang beribu pejabat di Austin, Texas, AS, dijangka membuat penampilan sulung rasminya di Malaysia dengan pelancaran pada Julai ini.
Selain kenderaan elektrik, Tesla juga menceburi bidang kecerdasan buatan (AI) dan tenaga bersih.
Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia juga akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050.
Dia berkata negara mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik.
“Kami turut berbincang berkenaan penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink yang dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman, yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global.
“Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan,” katanya.