Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPDP siasat syarikat Bangsa Bertauhid atas 'ketirisan data'
Diterbitkan:  Jul 14, 2023 12:40 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang menyiasat syarikat Bangsa Bertauhid Sdn Bhd berhubung dakwaan ketirisan data pelanggannya.

JPDP berkata siasatan dibuat susulan laporan insiden ketirisan data laman sesawang Misi Rakyat daripada MyCert, CyberSecurity Malaysia (CSM) pada 4 Julai lalu.

"Pada hari sama, JPDP telah menghubungi Bangsa Bertauhid Sdn Bhd untuk mendapatkan pengesahan berkenaan insiden dan sampel data yang terlibat," kata jabatan itu dalam kenyataan.

Kata JPDP lagi, syarikat itu diarahkan untuk melengkapan borang Notifikasi Ketirisan Data (DBN) dan pemiliknya, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi dipanggil untuk memberi keterangan pada 13 Julai.

Bangsa Bertauhid mengendalikan platform meraih dana (crowdfunding) Misi Rakyat ketika kemuncak penularan wabak Covid-19.

Misi Rakyat kemudian turut memulakan aplikasi penghantaran makanan.

Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi

Pada bulan lalu, Misi Rakyat melancarkan kempen untuk meraih RM20 juta bagi Misi Farms, bertujuan menghapuskan orang tengah bagi para petani.

Namun, rancangan itu terhenti awal bulan ini selepas Bank Negara mengeluarkan peringatan di laman Facebooknya berkenaan kegiatan pengumpulan dana yang meragukan.

Sehari kemudian, Ahmad Faiz mengumumkan dia akan memulangkan semula kira-kira RM400,000 sumbangan yang telah diterima selepas mengakui tangkap layar yang digunakan Bank Negara sebagai contoh dalam peringatannya ada kaitan dengan Misi Farms.

Menurut JPDP, data yang bocor tersebut dimuat naik di Breach Forums dan aplikasi Telegram pada 3 dan 4 Julai.

Tidak jelas jika JPDP merujuk kepada laman sesawang Breach Forums yang dututup oleh pasukan petugas pelbagai negara pada Mac lalu.

Laman itu dikenali sebagai tempat perdagangan data yang mengandungi maklumat peribadi yang diperolehi di serata dunia.

Pada 2022, satu set data yang didakwa daripada agensi kerajaan Malaysia, mengandungi maklumat 22.5 juta rakyat Malaysia, diiklankan di forum laman itu pada harga AS$10,000. Antara sampel yang digunakan termasuk maklumat didakwa milik menteri dalam negeri ketika itu, Hamzah Zainudin.

Menurut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, JPDP hanya boleh mengambil tindakan terhadap entiti swasta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS