Perdana Menteri Anwar Ibrahim sepatutnya memfailkan saman fitnah bagi mempertahankan dirinya berhubung isu pemilikan sebuah rumah di Kajang dan kereta mewah, bukannya melibatkan polis dalam perkara itu.
Timbalan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu Sasha Lyna Abdul Latif berkata Anwar mempamerkan sikap hipokrit Anwar apabila menggunakan "undang-undang drakonian" yang ditentangnya sebelum ini.
"Sekiranya Anwar terkesan dengan dakwaan yang dibuat, adalah haknya untuk memfailkan satu tuntutan sivil untuk saman fitnah.
“Semasa beliau pembangkang, pelbagai saman fitnah telah difailkankannya terhadap pengkritik. Sekarang ini setelah berkuasa, adakah Anwar mengharapkan layanan istimewa diberikan kepadanya dengan menggunakan kuasa polis untuk melindungi reputasinya?
"Anwar harus ingat yang Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa semua rakyat adalah sama rata, sama ada seorang itu perdana menteri ataupun rakyat biasa. Seperti rakyat jelata yang lain, beliau seharusnya melalui proses mahkamah sivil sekiranya beliau berpendapat yang reputasinya telah tercalar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sasha mengulas laporan polis yang dibuat oleh setiausaha politik Anwar Ahmad Farhan Fauzi semalam terhadap ahli jawatankuasa penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin, bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, dan penulis blog Raggie Jessy Rithaudeen.
Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard membuat laporan SPRM pada Selasa, berhubung hak milik Anwar ke atas rumah di Sungai Long, Kajang. Selain mendakwa pengerusi PH itu menggunakan beberapa kereta mewah yang bukan miliknya.
Peguam Sankara Nair semalam menjelaskan bahawa Anwar pada 2020 telah menandatangani pajakan semalam 10 tahun ke atas rumah berkenaan.
Menurutnya, kereta yang dipinjamkan oleh rakan-rakan Anwar, juga telah dipulangkan kepada mereka selepas pengerusi PH itu menjadi perdana menteri.
Laporan polis dibuat semalam mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Mengulas lanjut, Sasha Lyna berkata Badrul melakukan perkara yang betul dengan membawa perkara itu kepada SPRM.
Katanya, jika Sankara mempunyai bukti berhubung dakwaan Badrul sebagai tidak benar ,dia juga harus menyerahkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
"Sebaliknya, mengapakah perdana menteri membuat laporan polis terhadap rakyat yang mempersoalkan sumber kekayaan beliau dan mengugut dengan tindakan undang-undang jenayah?
"Seterusnya, Badrul telah melakukan perkara yang betul iaitu membawa perkara tersebut ke pihak SPRM, yang merupakan agensi penguatkuasaan yang sesuai. Adakah sekarang ia menjadi satu kesalahan untuk sesiapa membuat laporan terhadap perdana menteri ke pihak SPRM? Soalnya lagi.
Desak tarik balik laporan polis
Sasha Lyna "mengingatkan" Anwar mengenai perjuangan dan janji kerajaan pimpinannya untuk memansuhkan undang-undang zalim yang sebelum ini digunakan oleh BN untuk menutup kebebasan bersuara.
"Pada 26 April 2021, beliau telah memetik pengataan Voltaire di dalam Twitter beliau, 'I may disagree with what you say, but I will defend to the end your right to say it'.
"Adakah Anwar sudah lupa kata-kata Voltaire ini?" Soalnya lagi.
Justeru Sasha menggesa Anwar menarik balik laporan polis dan membenarkan SPRM menjalankan tugas mereka.
"Kami selanjutnya menggesa beliau dan kerajaannya untuk berhenti menggunakan undang-undang zalim terhadap pengkritik.
"Kami mendesak Anwar untuk menarik balik laporan polis tersebut dan membenarkan pihak SPRM untuk membuat siasatan mereka.
"Kami juga mendesak beliau dan kerajaan untuk berhenti menggunakan undang-undang drakonian seperti ini terhadap pengkritik-pengkritik mereka," katanya lagi.