Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Baru-baru ini ada seorang bekas perdana menteri yang sering dianggap sebagai "negarawan" telah meluahkan perasaannya di dalam sebuah hantaran Facebook berkenaan kononnya orang Cina Malaysia sudah menguasai keseluruhan ekonomi negara kita.

"Negarawan" tersebut menukilkan hantaran selepas bersiar-siar di salah satu pusat beli belah yang baru dibina.

Dikatakan semua pasar raya besar-besar milik orang Cina, orang Melayu tak dapat apa. Digambarkan juga oleh beliau bahawa semua kekayaan negara dibolot oleh orang Cina dan Melayu hanya dapat cebisan sahaja.

Penulis merasakan mungkin negarawan tersebut sudah "out of touch" dengan masyarakat umum.

Maklumlah, kalau ada pun Cina yang bersahabat dengan beliau, mungkin Cina tersebut adalah tauke besar dan bukan Cina yang duduk di projek perumahan rakyat (PPR) ataupun di kampung-kampung.

Pada hemat penulis mungkin niat negarawan tersebut menulis sedemikian rupa hanya untuk memberi sokongan kepada satu gabungan parti pada PRN yang bakal tiba nanti.

Memandangkan parti yang disokong itu adalah parti yang berimejkan Melayu/Islam maka naratifnya perlulah "memperjuangkan" Melayu/Islam, walaupun pada hakikatnya ia tidak berlandaskan fakta.

Seperti yang dijangka, negarawan tersebut menggunakan taktik politik yang sama semasa beliau menjadi presiden sebuah parti Melayu tidak lama dahulu.

Orang Melayu tidak senaif dulu

Modus operandinya mudah, takutkan orang Melayu dengan menjadikan orang Cina sebagai ancaman (dari sudut politikal dan ekonomi), maka selepas itu diharapkan berbondong-bondonglah orang Melayu menyokong beliau.

Perkara ini juga dilakukan oleh Adolf Hitler di Jerman suatu masa dahulu, yang mana ia telah mengakibatkan permusuhan antara kaum yang kronik.

Namun begitu, orang Melayu pada ketika ini tidaklah senaif yang difikirkan beliau. Kita sudah dapat menilai baik buruk sesuatu perkara sebelum mempercayai sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh seseorang, terutamanya daripada kalangan politikus.

Apa yang dikhuatiri adalah mungkin ada orang-orang Melayu yang akan mempercayai kata-kata beliau, sehingga menyebabkan prejudis antara kaum, sedangkan realiti kehidupan di luar sana bukanlah seperti apa yang digambarkan negarawan tersebut.

Penulis tidak mempunyai rakan-rakan berbangsa Cina yang ramai, tapi penulis sering mengikuti program atau aktiviti amal yang diadakan di kawasan bandar dan juga luar bandar.

Apa yang boleh penulis simpulkan di sini adalah, bukan semua orang Cina itu kaya raya, malah di kalangan gelandangan di ibu kota dan juga golongan miskin di luar bandar ada juga orang Cina.

Mungkin negarawan tersebut perlu singgah di lorong-lorong gelap bandaraya atau di kampung-kampung baru untuk melihat keadaan sebenar masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Orang Cina miskin di Malaysia nasibnya lebih sukar berbanding orang Melayu yang miskin atau daif.

Mereka tidak mempunyai pilihan untuk mendapatkan bantuan sebanyak orang Melayu yang boleh mendapatkan sokongan daripada institusi seperti baitul mal dan zakat negeri tempat mereka bermastautin.

Jika ada pun bantuan yang golongan Cina miskin terima adalah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat ataupun NGO-NGO amal yang khidmat mereka juga boleh diakses oleh semua kaum di Malaysia.

Itu belum lagi kita ceritakan masalah sosial seperti ketagihan arak, perjudian, terjebak dengan pinjaman ceti haram dan lain-lain, yang membelenggu komuniti Cina di negara ini.

Ini menunjukkan untuk orang Cina Malaysia mencapai sesuatu kejayaan tersebut bukanlah dengan cara mudah. Seperti bangsa-bangsa lain di negara ini sekiranya kita ingin berjaya, maka kita perlu berusaha untuk mencapai kejayaan tersebut.

Jika ada jutawan atau hartawan Cina, percayalah mereka berusaha keras sepertimana usahawan-usahawan bangsa lain di negara ini.

Ini membuktikan bahawa naratif yang semua Cina Malaysia itu kaya dan naratif Melayu terancam oleh kekayaan Cina Malaysia itu suatu mitos yang harus dilawan.

Hakikatnya, musuh orang Melayu pada ketika ini adalah perebutan terhadap hak istimewa orang Melayu antara Melayu kaya (yang menggunakan "kabel") dan Melayu miskin.

Melayu miskin dan Melayu ‘kabel’

Selepas berpuluh tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan, ramai orang Melayu telah berjaya keluar dari kepompong kemiskinan kerana diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran dan juga diberikan modal untuk berniaga.

Hasilnya pada ketika ini wujud golongan profesional Melayu seperti doktor, jurutera, peguam dan lain-lain yang ramai di negara ini.

Daripada polisi ini juga terbit perusahaan-perusahaan Melayu dan jutawan-jutawan Melayu yang secara langsung telah meningkatkan taraf sosio-ekonomi komuniti Melayu di Malaysia secara drastik.

Masalah di kalangan kaum Melayu mula tercetus apabila golongan yang telah mendapat manfaat daripada polisi-polisi pro-Melayu daripada kerajaan ini menyangkakan ini adalah hak mutlak mereka sehingga menidakkan keperluan golongan Melayu miskin yang amat memerlukan bantuan.

Sebagai contoh, seorang anak Melayu miskin pada era 1970an telah mendapat manfaat daripada DEB sehingga menjadi seorang profesional.

Pendidikannya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan apabila dia menubuhkan perusahaan, ia juga mendapat bantuan-bantuan tertentu daripada kerajaan.

Akhirnya beliau menjadi seorang usahawan berjaya yang berupaya mengumpulkan harta bernilai jutaan ringgit.

Namun, kini apabila beliau mempunyai anak, anak beliau juga memohon inisiatif yang sama seperti bapanya dahulu.

Sudah semestinya pihak pengendali inisiatif tersebut akan mempertikaikan bahawa bapanya sudah kaya raya disebabkan oleh DEB (dan inisiatif lain), sewajarnya hak istimewa ini diberikan pula kepada orang Melayu lain yang masih miskin.

Maka, si bapa mula menelefon "kawan-kawannya" yang berjawatan tinggi untuk membantu beliau menempatkan anaknya di dalam skim bantuan yang sama seperti yang dinikmati dirinya pada era 1970an dahulu.

Sudah tentu akibat status si bapa yang sudah kaya raya dan berpengaruh, "kawan-kawannya" yang berjawatan tinggi akan membantu anaknya yang mahu menyertai skim yang sama.

Akhirnya, tempat yang sepatutnya diberikan kepada anak Melayu miskin itu dipersembahkan kepada anak Melayu kaya yang bapanya mempunyai ‘kabel-kabel’ yang kuat dengan pihak yang berkuasa.

Ini adalah realiti yang perlu dihadapi oleh setiap Melayu miskin di Malaysia, yang mana musuh mereka bukanlah orang Cina tetapi golongan Melayu yang sudah berjaya, namun masih lagi menagih hak keistimewaan yang wajar dikhususkan kepada orang Melayu miskin.

Isu ini bukanlah isu terpencil kerana ia masih lagi sedang aktif berlaku di negara kita tanpa disedari oleh sebilangan besar masyarakat Melayu di negara ini.

Sikap orang Melayu kaya (‘berkabel’) yang menindas peluang dan ruang Melayu miskin untuk berjaya adalah barah yang akan menghancurkan masyarakat Melayu di Malaysia.

Akhirnya, hanya kelompok yang sama akan berjaya mendapat bantuan, manakala kelompok Melayu lain tertinggal jauh kebelakang dan yang disalahkan adalah orang Cina yang dalam hal ini tidak terlibat langsung dalam mengancam survival atau masa hadapan bangsa Melayu.

Saya berharap agar cerita mitos yang dicoretkan oleh negarawan tersebut tidak diambil pusing oleh orang Melayu secara keseluruhannya.

Apa yang wajar kita tentang adalah sikap orang-orang kita yang suka mengambil peluang orang miskin dari kalangan bangsa kita sendiri.

Sekiranya kita mampu untuk berusaha, jangan kita gunakan kemudahan yang disediakan oleh mana-mana pihak, kerana kemudahan tersebut adalah untuk golongan yang lebih memerlukan.

Nasihat saya kepada negarawan tersebut, sudah-sudahlah memainkan isu perkauman, kita sebagai rakyat Malaysia harus disatukan dengan iltizam yang murni dan bukannya dipecahkan lagi dengan kenyataan-kenyataan dangkal daripada politikus yang sudah terlalu jumud pemikirannya akibat kemaruk kuasa.


AHMAD SOFFIAN MOHD SHARIFF merupakan penulis dan bekas setiausaha akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS