Aduan mengenai kenaikan harga telur hanya melibatkan telur yang tidak memenuhi kehendak pasaran, kata sebuah syarikat pembekal.
Dalam kenyataan media, hari ini, Huat Lai Resources Bhd berkata telur-telur yang dilaporkan ‘mahal’ itu adalah bekalan yang ditolak atau disebut sebagai 'rejected eggs' yang tidak layak menuntut subsidi telur yang diluluskan oleh kerajaan.
Ia merujuk kepada telur yang bercengkerang nipis tetapi masih boleh digunakan dan dijual pada harga yang lebih rendah daripada lazimnya.
"Telur sebegini kebiasaannya mempunyai tempoh hayat yang pendek, dan sebelum ini tidak mempunyai permintaan.
"Namun, kebelakangan ini permintaan telur jenis ini semakin meningkat kerana mula dibeli oleh golongan peniaga seperti pembuat kek dan penjual nasi lemak yang menggunakan telur ini dalam jangka masa yang lebih singkat.
"Sebanyak 70 hingga 80 peratus dari jumlah keseluruhan telur yang dikeluarkan adalah yang bergred A, B dan C. Manakala bakinya adalah telur omega, telur premium, dan juga rejected eggs," katanya.
Tambahnya, 'rejected eggs' ini bukanlah sasaran pasaran.
Kenyataan itu susulan pekeliling yang beredar mendakwa harga telur akan dinaikkan sebanyak RM0.60 bagi setiap papan.
Memo itu bertarikh 9 Julai yang turut dilihat oleh Malaysiakini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Mohamad Sabu semalam memberitahu Malaysiakini bahawa dia telah mengarahkan agar siasatan dilakukan berhubung dakwaan berlaku kenaikan harga telur oleh beberapa pembekal.
Mohamad berkata bahawa pihak kementerian akan memberikan maklum balas dengan segera sebaik saja isu berkenaan dapat dikenal pasti.
Sebelum ini, kerajaan berkata subsidi diberikan kepada penternak ayam dan pengeluar telur bagi memastikan industri ayam dan telur terus berdaya tahan dan pada masa yang sama memastikan kesejahteraan rakyat.
Asalnya pemberian subsidi hanya sehingga 30 Jun tetapi kerajaan kemudiannya bersetuju agar ia dilanjutkan mulai 1 Julai tahun ini.