Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nahas LRT: 8 individu kemuka laporan perubatan dalam saman

Lapan individu mengemukakan laporan perubatan bagi menjawab dakwaan Rapid Rail Sdn Bhd dan Prasarana Malaysia Bhd bahawa kecederaan yang dialami semasa nahas Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya pada 2021 adalah sebahagiannya disebabkan kecuaian mereka.

Dalam jawapan lapan plaintif terhadap pernyataan pembelaan kedua-dua syarikat terhadap saman kecuaian mereka, individu tersebut berkata laporan pakar perubatan membuktikan kecederaan mereka sepenuhnya disebabkan oleh kecuaian kedua-dua defendan.

"Plaintif-Plaintif akan mengemukakan laporan-laporan perubatan dan laporan-laporan pakar perubatan untuk membuktikan kecederaan yang dialami akibat daripada kecuaian pihak defendan pertama dan defendan kedua dan plaintif-plaintif menafikan butir-butir kecuaian yang diplidkan oleh defendan-eefendan kerana kemalangan berlaku di waktu puncak dan adalah tanggungjawab defendan-defendan untuk memastikan keselamatan plaintif-plaintif yang juga penumpang sah perkhidmatan defendan-defendan,” kata plaintif dalam jawapan yang dilihat oleh Malaysiakini.

Sebelum ini, portal berita The Vibes melaporkan kedua-dua syarikat itu, melalui pembelaan mereka, mendakwa bukan sahaja mereka tidak cuai malah menyatakan kecederaan dialami oleh lapan penumpang terbabit “disebabkan sepenuhnya dan/atau sebagai alternatif, sebahagian oleh kecuaian plaintif pada semua waktu tersebut.”

Melalui pernyataan pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 5 April, Rapid Rail dan Prasarana mendakwa plaintif cedera selepas gagal berdiri atau duduk di tempat yang ditetapkan penumpang dalam tren, gagal memegang tali paut yang disediakan oleh defendan, dengan kecuaian dan/atau sengaja menyebabkan dan/atau membenarkan diri mereka mengalami kecederaan yang mereka dakwa

Melalui firma guaman Vin Partnership, lapan individu itu memfailkan jawapan mereka pada 11 Mei lalu.

Prasarana dan Rapid Rail diwakili peguam daripada firma guaman Azim, Tunku Farik & Wong.

Ketika dihubungi Malaysiakini, wakil daripada firma guaman yang mewakili defendan mengesahkan kedua-dua syarikat itu telah diserahkan salinan jawapan plaintif pada 18 April.

Pada 9 Mac, lapan individu yang mendakwa menjadi mangsa kemalangan LRT terbabit memfailkan writ saman terhadap Rapid Rail dan Prasarana Malaysia Bhd atas dakwaan cuai.

Bernama melaporkan plaintif berkenaan ialah Tengku Amalie Tengku Alauddin Shah, 47, Marvena Jitol, 28, Riezariel Haeqal, 23, Rozita Che Rus, 28, Ng Siow Nee, 36, Siti Nuraliah Hashim, 26, Nurul Athirah Mohd K Jabayee, 36, dan Muhammad Firdaus Mohd Saleh, 35.

Melalui pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa mereka sihat dari segi fizikal dan mental sebelum kemalangan itu.

Mereka sebagai penumpang tren LRT Kelana Jaya sebelum berlaku pelanggaran dengan sebuah lagi tren antara stesen LRT Kampung Baru dan stesen LRT KLCC, mendakwa nahas itu adalah akibat kecuaian kedua-dua defendan.

Plaintif mendakwa mereka mengalami kecederaan fizikal dan kerugian lain daripada kejadian itu.

Plaintif juga merujuk kenyataan mengenai nahas berkenaan oleh pengerusi bukan eksekutif Prasarana ketika itu, Tajuddin Abdul Rahman semasa sidang media selepas nahas LRT terbabit.

Media sebelum ini melaporkan Tajuddin didakwa berkata bahawa kedua-dua kereta api itu "bercium antara satu sama lain".

Plaintif menuntut lebih RM860,000 sebagai ganti rugi khas, am dan teladan, serta faedah lima peratus, kos dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Bernama melaporkan, dalam kemalangan pada 8.45 malam pada 24 Mei 2021, seramai 47 penumpang tren dilaporkan cedera parah, manakala 166 cedera ringan apabila berlaku perlanggaran dengan tren kosong yang dipandu secara manual dan tren automatik yang membawa penumpang di laluan Kelana Jaya antara stesen Kampung Baru dan KLCC di Kuala Lumpur.

Pengurusan kes saman berkenaan ditetapkan pada 11 Ogos.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS