Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sepuluh rakyat Malaysia yang terperangkap akibat banjir di negeri Himachal Pradesh, India, kini dalam keadaan selamat dan dijangka tiba di New Delhi hari ini, kata Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra).

Sebelum ini, 12 pendaki Malaysia dilaporkan hilang di wilayah itu selepas keluarga masing-masing tidak dapat menghubungi mereka.

Dalam kenyataan pada lewat semalam, Wisma Putra menjelaskan daripada 12 individu itu sebenarnya seorang adalah warganegara China, manakala seorang lagi British.

Menurut Wisma Putra, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi berjaya menghubungi salah seorang daripada rakyat Malaysia yang terkandas di situ dan menerima maklumat bahawa kesemua mereka selamat dan berada di bandar Manali.

"Misi diplomatik itu sedang berusaha membawa rakyat Malaysia ke New Delhi pada Khamis.

"Jika rancangan evakuasi berjalan lancar, kumpulan itu dijangka pulang ke Malaysia melalui penerbangan pada hari yang sama," kata kenyataan itu.

Hujan monsun yang lebat menyebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan utara India. Himachal Pradesh pula merupakan negeri yang paling teruk terjejas.

Wilayah lain seperti Uttarakhand, Punjab dan Haryana juga mengalami bencana sama yang turut menyebabkan kerosakan ketara jalan raya dan infrastruktur.

Mengikut laporan media tempatan kira-kira 90 orang dilaporkan maut di Himachal semasa musim hujan monsun itu, manakala jumlah kematian di Punjab dan Haryana adalah 21.

Dua belas orang terbunuh dalam insiden berkaitan hujan dalam tempoh 24 jam di negeri Uttar Pradesh, mengikut kenyataan kerajaan India pada petang semalam.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran banjir bagi banyak daerah di barat Uttar Pradesh. Di Delhi, beribu-ribu orang yang tinggal berdekatan dengan tebing sungai Yamuna telah dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.

Paras air Yamuna di Delhi telah melampaui tahap bahaya pada Rabu selepas negeri jirannya, Haryana melepaskan isi padu air yang besar dari empangan Hathnikund.

Kementerian Kewangan India pada Rabu mengeluarkan bantuan sekitar AS$920 juta untuk membantu 22 negeri ekoran hujan lebat di seluruh negara itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS