Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perlu akta baru hukum pihak mainkan isu 3R, kata Azalina

Kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan satu akta baru bagi menghukum pihak yang mempermainkan isu 3R (agama, raja dan kaum) dari aspek sivil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata akta baru itu - yang mungkin dinamakan Akta Negara dan Bangsa - berfungsi seperti Akta Keharmonian Kaum di Singapura, namun ia tetap dalam konteks Malaysia.

Katanya buat masa ini sebarang kesalahan melibatkan isu 3R disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 sedangkan ia lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah sehingga menyebabkan pendakwaan memakan masa yang lama berikutan prosedur undang-undang.

“Jadi, saya menyatakan mungkin kita perlu menilai dalam elemen positiviti... akta sedemikian yang dicadangkan berbentuk punitif.

“Maknanya kalau dia langgar, dia akan dikenakan denda. Itu lebih senang diselesaikan atau disabitkan.

"Kalau ikut jenayah, prosedur, pengukuran bukan mudah,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu forum Malaysia Di Ambang PRN 2023 di Menara Dato Onn malam tadi.

Azalina berkata pandangan untuk mewujudkan akta baru sudahpun dibentangkan kepada kabinet semalam dan mendapat respons yang positif.

Dia berkata cabaran yang dihadapi ketika ini ialah apabila media sosial digunakan bagi mempermainkan isu 3R, ia mampu dinafikan dan tiada mempunyai bukti kukuh.

Justeru katanya kewujudan akta baru adalah penyelesaian kepada isu 3R yang semakin menjadi-jadi di Malaysia sejak kebelakangan ini seterusnya memastikan keperluan generasi akan datang lebih terjamin.

Sementara itu Azalina berkata keputusan Mahkamah Rayuan Perancis yang menolak penguatkuasaan sebahagian award yang diperoleh kumpulan Sulu membuktikan kestabilan Kerajaan Madani.

“Kes Sulu itu jika kerajaan stabil memang tidak boleh menang. Mereka ambil kesempatan. Mereka tidak bodoh. Mereka tahu jika perdana menteri bertukar, kadang-kadang peguam negara bertukar, mereka ambil kesempatan,” katanya.

Ketua Penerangan Umno itu juga juga berkata kestabilan politik sangat penting dalam menjaga keamanan dan ekonomi negara sekali gus meneruskan agenda rakyat.

Seorang lagi panel, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pula berkata pendedahan awal pendidikan literasi politik kepada golongan belia menerusi kurikulum dan program yang dilaksanakan kementerian itu bertujuan membentuk orang muda yang celik hak kenegaraan mereka.

"Tumpuan kerajaan sekarang ini adalah mereka yang sudahpun boleh mengundi dalam konteks segmen Kementerian Pendidikan Malaysia, tingkatan enam, matrikulasi dan sebagainya…

"Mereka ini telah didedahkan dengan kurikulum khususnya kem-kem yang berkait rapat dengan pendidikan karakter bangsa.

“Kem ini memang khusus untuk memberikan mereka pencerahan berkaitan hak-hak kewarganegaraan.

"Selain itu, juga penting sebagai ibu bapa, untuk memberikan pencerahan ini dalam konteks kekeluargaan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS