Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
6 anggota polis ditahan di pusat hiburan ditukar

Bukit Aman telah mengarahkan polis Perak melakukan pertukaran dalaman membabitkan enam anggota yang ditahan di sebuah pusat hiburan di Manjung, Sabtu lepas.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang tidak berdisiplin serta melanggar undang-undang termasuk salah guna kuasa.

"Saya serahkan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan JIPS PDRM Perak untuk jalankan siasatan ke atas mereka yang terlibat.

"Dalam aspek disiplin, kita sentiasa tegas untuk memastikan pegawai dan anggota mematuhi peraturan ditetapkan dan kita akan ambil tindakan segera setelah siasatan selesai. Arahan daripada pucuk pimpinan untuk tukarkan mereka daripada posisi asal kepada posisi baru telah pun dibuat," katanya dalam sidang media selepas Program Derma Darah PDRM Perak sempena Hari Polis ke-216 hari ini.

Dia berkata tindakan tegas menanti anggota yang culas dan pihak polis komited memastikan semua kakitangannya berintegriti tinggi.

Dalam kejadian Sabtu lepas, enam anggota polis dari sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Perak ditahan dalam serbuan JIPS Bukit Aman dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK).

Serbuan kira-kira 11.30 malam itu mendapati enam anggota terbabit disyaki sedang berhibur dengan seorang wanita warga asing di bilik karaoke pusat hiburan berkenaan.

Hasil pemeriksaan lanjut, seorang anggota beragama Islam dikesan mengambil minuman keras, manakala seorang lagi positif dadah jenis ganja.

Sementara itu, seramai 350 penderma menyertai program Program Derma Darah PDRM Perak sempena Hari Polis ke-216 yang diadakan bertujuan membantu Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) Ipoh menambah bekalan darah negara.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS