Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan dakwa belanja dapur keluarga RM391 sebulan
Diterbitkan:  Jul 12, 2023 4:29 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

Kerajaan mendakwa belanja dapur satu keluarga dengan gaji minimum RM1,500 sebanyak RM391 sebulan atau RM97.75 seminggu.

Dakwaan ini dibuat oleh Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) bagi menjawab persoalan benarkah belanja dapur meningkat dari RM200 ke RM500 sebulan.

JKOM membariskan contoh perbelanjaan sekeluarga melibatkan enam barangan - ayam, beras, minyak masak, telur, roti dan gas masak.

Berdasarkan infografik yang dikeluarkan JKOM, harga ayam dianggarkan sekitar RM18.80 seekor dan dengan anggaran satu keluarga membeli dua ekor seminggu, bersamaan dengan RM37.60.

Barangan mingguan lain adalah minyak masak paket yang berharga RM6.90 sekilogram (dua paket seminggu, RM13.80), roti Gardenia RM4.30 (dua paket seminggu, RM8.60) dan telur sepapan RM14.

Belanja untuk beras 10 kilogram dan tong gas 10 kilogram pula adalah bagi sebulan, masing-masing berharga RM38 dan RM14.

Namun, kiraan Malaysiakini berdasarkan enam barangan pada infografik itu berbeza dengan RM391 sebulan seperti dinyatakan.

Tidak jelas bagaimana jabatan itu mendapat jumlah tersebut, atau jika ia mengambil kira barangan lain seperti sayuran dan buah-buahan yang tidak disenaraikan.

Dalam infografik itu, J-Kom turut mendakwa perbelanjaan barangan tersebut bagi individu bujang (dengan kuantiti yang kurang) adalah RM228 sebulan.

Infografik itu mengundang kritikan dengan ramai menyifatkannya sebagai tidak realisitik kerana perbelanjaan itu tidak termasuk keperluan asas lain seperti gula, susu, bawang dan sayuran.

Setakat ini, infografik yang dimuatnaik di Facebook JKOM itu mendapat lebih 3,000 komen dan dikongsi lebih 2,000 pengguna, dengan ramai yang berpendapat ia tidak berasas.

Terdahulu, beberapa media sosial membangkitkan isu kenaikan harga barang, mendakwa perbelanjaan RM500 sebulan diperlukan untuk membeli barangan runcit untuk empat isi rumah sekarang berbanding RM200 sebelum ini.

Dipercayai hantaran berkenaan berasal dari laporan sebuah akhbar yang mengandungi tajuk sama.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil kemudian berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah ditugaskan untuk menyiasat hantaran media sosial tersebut, yang disyaki dibuat secara salinan dan ditularkan.

"Ini dipanggil coordinated inauthentic behaviour (tingkah laku tidak tulen yang diselaraskan) jelas melanggar beberapa peraturan," katanya.

Namun Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) Nivas Ragavan dilaporkan berkata Menurut Utusan Malaysia, harga barang dijangka meningkat sebanyak 20 peratus pada Oktober nanti.

Menurut Utusan Malaysia, Ragavan berkata dia berkata peningkatan itu didorong dua faktor utama iaitu inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia.

Dia berkata pihaknya mendapati terdapat peningkatan 20 peratus dalam kos pengeluaran dan operasi dalam kalangan ahli KLSICCI sejak Januari lalu.

Bagaimanapun Fahmi menolak jangkaan peningkatan itu, berkata kadar inflasi yang dicatatkan setakat ini menunjukkan trend penurunan.

Malah, dia berkata beberapa petunjuk ekonomi pada tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS