Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Memang fakta orang bukan Islam paling ramai beri rasuah - Sanusi
Diterbitkan:  Jul 12, 2023 4:16 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Muhammad Sanusi Md Nor menyokong naratif PAS bahawa orang bukan Islam adalah bangsa yang paling ramai terlibat dalam rasuah.

Sanusi, yang juga menteri besar sementara Kedah, menegaskan bahawa apa yang dia katakan itu adalah benar dan fakta.

Dia berkata demikian ketika ditanya tentang cara PN bercadang untuk meraih sokongan daripada bukan Islam pada pilihan raya negeri akan datang sedangkan pemimpinnya, termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang, sebelum ini menuduh orang bukan Islam dan bukan bumiputera sebagai menjadi penyumbang rasuah yang terbesar.

“Saya pegang (pendirian) sama macam Tok Guru (Hadi). Selagi saya benar, saya cakap.

“Pergi tengok rekod orang ditangkap atas kesalahan rasuah, memberi dan menerima, lebih ramai (orang) non-muslim. Itu benar, itu fakta,” katanya.

Dia membuat kenyataan itu pada program bual bicara Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan yang disiarkan secara dalam talian malam semalam.

Hadi sebelum ini membuat tuduhan itu pada Ogos tahun lalu, yang kemudiannya disokong oleh pemimpin PAS dengan memetik "tinjauan" oleh sebuah universiti tempatan.

Kajian itu mendapati 73.4 peratus daripada pemberi rasuah yang disabitkan kesalahan adalah bukan Melayu, tetapi pada masa yang sama, kajian tersebut juga memutuskan penerima rasuah paling ramai adalah sebaliknya.

Menurut kajian itu, kira-kira 82 peratus penerima rasuah yang disabitkan kesalahan berkenaan berbangsa Melayu.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata dakwaan mengenai peranan bukan Melayu dalam rasuah adalah sebagai tindak balas terhadap DAP yang mula memainkan naratif bahawa pemimpin Melayu terbabit rasuah.

“Sebab pada ketika kenyataan itu dikeluarkan, DAP memainkan (dakwaan) pemimpin Melayu ini rasuah, semua pemimpin Melayu ni tak boleh dipercayai.

“(Mereka kata) lebih baik orang bukan Islam baik daripada pemimpin Islam yang tak baik kerana mengamalkan rasuah.

“Bila tengok fakta, banyak ditangkap adalah orang bukan Islam,” katanya.

Kajian itu dijalankan oleh penyelidik di Universiti Sains Malaysia dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman di Pulau Pinang, dan diterbitkan dalam jurnal ‘Asian Economic Papers’ pada Januari 2017.

Ia kebanyakannya tertumpu pada perspektif pemberi rasuah. Peranan penerima rasuah dalam rasuah kebanyakannya di luar skop kertas kajian tersebut dan tidak diterokai.

Dalam perkembangan berasingan, Sanusi berkata amaran daripada pihak berkuasa dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak membincangkan isu sensitif berkaitan 3R (kaum, agama dan Raja-raja) adalah semata-mata untuk mengekang pembangkang.

Dia mempersoalkan sekatan itu, dan mendakwa isu mengenai 3R adalah sebahagian daripada Rukunegara.

“PAS parti Melayu Islam. Kalau asas kepada penubuhan kita tak boleh cakap, nak cakap pasal apa?

“Ini semua nak ikat kaki dan tangan kita, dia orang lawan tapi kaki dan tangan kau ikat. Ini tak adil.

“Cuma saya kata, benda-benda sensitif awak cakap pasal agama, awak jangan cakap pasal agama lain, itu tak boleh,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS