Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Zuraida Kamaruddin mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan bagi membatalkan perintah membayar RM10 juta dikenakan terhadapnya kerana berpaling tadah selepas memenangi kerusi parlimen Ampang buat kali ketiga pada 2018.

Peguam bekas naib presiden PKR itu Nizamuddin Abdul Hamid mengesahkan kepada Malaysiakini hari ini bahawa notis rayuan itu difailkan dua hari lalu.

Menurut Nizamuddin rayuan itu adalah terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Jun yang membenarkan tuntutan RM10 juta daripada PKR.

Hakim Akhtar Tahir turut memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000 kepada PKR.

Semasa perbicaraan pada 29 Mac, Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi keterangan, Zuraida memenangi kerusi Ampang kerana bertanding di bawah bendera parti dan bukannya kekuatan dirinya sendiri.

Pada 30 Mac pula, Zuraida memberi keterangan bahawa dia tidak mengetahui butiran bon RM10 juta itu kerana didakwa dipaksa menandatanganinya sebelum bertanding.

Zuraida - bersama 11 ahli parlimen lain diketuai Azmin Ali - meninggalkan PRK pada Feb 2020 untuk menyokong Bersatu, Umno-BN dan GPS dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kejadian yang digelar sebagai Langkah Sheraton itu membawa kepada kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan yang mendapat mandat untuk menjadi kerajaan melalui PRU ke-14.

Pada Sept tahun yang sama PKR memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menuntut RM10 juta ke atas Zuraida kerana meninggalkan parti.

Pada Mei tahun lalu, Zuraida meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Kemudiannya pada Dis tahun lalu juga, dia dan 10 ahli PBM lain dipecat ekoran krisis dalaman PBM yang berlegar di sekitar isu pelantikan presidennya.

Awal tahun ini, Zuraida dipilih sebagai timbalan presiden Muafakat Nasional.

Pada PRU ke-15, Zuraida bertanding atas tiket PBM dalam cubaannya mempertahankan kerusi parlimen Ampang.

Bagaimanapun dia yang pernah menjadi ketua Wanita PKR gagal dan hilang deposit. Kerusi parlimen Ampang dimenangi calon PH, Rodziah Ismail yang memenanginya dengan majoriti 29,681 undi.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS