Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KOMENTAR | Isu kesihatan buah pinggang yang tersakiti

KOMENTAR | Maaf, tulisan ini ada sedikit unsur peribadi iaitu tentang isteri saya yang terlantar di hospital sejak lebih sebulan lalu.

Dia berada di wad jantung selama 25 hari dan ketika tulisan ini digarap, isteri saya berada di wad unit penjagaan jantung (CCU) atau unit penjagaan kritikal selama 10 hari.

Kini dia ditempatkan di wad dependensi tinggi jantung (CHDW) untuk hari ketiga.

Isteri ditidurkan beberapa hari kerana masalah jantung selain kegagalan buah pinggang yang dideritainya sejak 2008.

Untuk dia boleh dipindahkan ke wad biasa pun belum pasti, apatah lagi untuk menanti detik dia dibenarkan pulang bagi untuk menjalani kehidupan seperti selalu.

Isteri menjalani dialisis CAPD (continuous ambulatory peritoneal dialysis) sejak 2008 apabila perutnya ditebuk dan disambungkan dengan tiub dari bawah pusat ke buah pinggang. Dialisis empat kali sehari dibuat di mana-mana sahaja asalkan tempat bersih dan nyah kuman.

Risiko CAPD atau prosedur cuci darah tanpa mesin adalah jangkitan kuman yang menyebabkan pesakit kerap terlantar di hospital beberapa kali.

Tak kenal status sesiapa

Mulai 2012 hingga kini isteri menjalani hemodialisis tiga kali seminggu dengan setiap sesi berlanjutan selama empat jam.

Bayangkan penderitaan mereka di mesin dialisis selama tempoh itu. Ia juga bermakna mereka tidak berpeluang bersosial seperti sepatutnya. Penderitaan itu ditanggung sepanjang hayat, justeru ia menuntut kesabaran yang tebal.

Rawatan itu membabitkan kos sehingga RM3,500 sebulan, tidak termasuk ubat-ubatan yang berharga kayangan. Renvela atau disebut Sevelamer berharga RM1,200 untuk sebotol yang berisi 180 biji.

Setiap bulan isteri saya menggunakan dua botol, menjadikan kos ubat itu saja RM2,400.

Bayangkan pesakit buah pinggang bukan sahaja menderita kegagalan ginjal, juga terseksa menanggung kos rawatan yang tinggi. Penyakit itu tidak mengenal darjat atau status.

Ia amat mendera untuk seseorang yang tidak mampu membiayai kos rawatan.

Isteri saya sebagai pesara kerajaan mungkin bernasib baik kerana kos rawatan dan pengangkutan pergi balik ke pusat dialisis ditanggung, namun bayangkan pesakit lain yang terpaksa ke Baitulmal dan Perkeso untuk mendapat bantuan.

Itu pun separuh daripada kos rawatan dan ubatan yang harga kayangan tidak ditampung oleh agensi berkenaan.

Jumlah pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penyakit buah pinggang kronik (CKD) kini sangat membimbangkan dengan lebih 9,000 orang dikenal pasti perlu menjalani rawatan dialisis setiap tahun.

Statistik kajian tempatan turut mendapati satu daripada setiap tujuh rakyat Malaysia mengalami penyakit buah pinggang kronik.

Memang kerajaan komited memerangi peningkatan NCD ini dan memfokuskan pencegahan CKD dalam Agenda Kesihatan Kebangsaan. Namun wajar juga difikirkan pusat dialisis Madani atau pusat dialisis Rahmah bagi membantu pesakit yang kurang bernasib baik.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 mendapati 1.7 juta individu menghidap tiga rangkaian NCD utama iaitu diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi, manakala 3.4 juta lagi menghidap kombinasi mana-mana dua penyakit NCD itu.

Mereka berisiko kegagalan ginjal.

Data terkini Malaysian Dialysis and Transplantation Registry menunjukkan terdapat 49,111 pesakit menjalani dialisis di negara ini dengan kebanyakan mereka adalah secara hemodialisis, manakala selebihnya dialisis peritoneal.

Patut dapat pembelaan

Pada  masa sama, jumlah pesakit dialisis baru pula sekitar 9,000 orang setahun dan ketika ini bilangan pesakit buah pinggang yang sedang menunggu transplan idalah seramai 4,722 orang.

Kajian juga mendapati pesakit buah pinggang kronik - yang memerlukan rawatan dialisis - dijangka mencapai 106,000 orang pada 2040. Ia suatu angka yang cukup mendebarkan.

Lebih membimbangkan apabila 30 peratus daripada pesakit itu adalah golongan muda berusia bawah 45 tahun.

Memang tidak mudah menerima kenyataan hidup mencabar. Pesakit buah pinggang bukan sahaja perlukan rawatan bahkan sokongan moral pelbagai pihak.

Malangnya agenda kesihatan awam tidak pernah dibahaskan secara tuntas kerana pelbagai pihak - terutamanya orang politik - lebih betah bercakap tentang kuasa dan kekuasaan.

Mereka sengaja melupakan pesakit kerana politik adalah tentang menjadi kerajaan dan bukan memakmurkan rakyat.

Ramai yang maut kerana penyakit, ramai juga yang melupakan agenda kebajikan sosial atas nama demokrasi sedangkan ramai pesakit buah pinggang tidak mendapat rawatan sepatutnya.

Apalah makna Malaysia Madani dan budaya Rahmah jika pusat dialisis masih berharga kayangan untuk pesakit marhaen yang sepatutnya mendapat pembelaan!


IMLAN ADABI ialah wartawan dan sasterawan yang menghayati makna madani.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS