Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCMC akan siasat hantaran 'diselaraskan' sentuh kos sara hidup
Diterbitkan:  Jul 11, 2023 2:10 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ditugaskan untuk menyiasat hantaran media sosial yang disyaki dibuat secara salinan dan ditularkan.

Menganggap ia sebagai tindakan yang diselaraskan, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata mesej sedemikian adalah melanggar peraturan negara.

"Wow, semua ayat sama.

"Ini dipanggil coordinated inauthentic behaviour (tingkah laku tidak tulen yang diselaraskan) jelas melanggar beberapa peraturan," ciapnya di Twitter hari ini.

Fahmi yang juga ahli parlimen Lembah Pantai berkata demikian sebagi reaksi kepada ciapan lain yang memaparkan tangkap layar hantaran ringkas mengenai dakwaan perbelanjaan dapur yang meningkat sekarang.

="https://platform.twitter.com/widgets.js" charset="utf-8">

Menurut Fahmi hantaran yang memaparkan susunan ayat yang sama sebegitu akan diteliti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Bagaimanapun dia tidak menyatakan lebih lanjut peraturan yang didakwanya dilanggar itu.

Dipercayai hantaran berkenaan berasal dari laporan Kosmo! yang mengandungi tajuk sama.

Ia mendakwa perbelanjaan RM500 sebulan diperlukan untuk membeli barangan runcit untuk empat isi rumah sekarang berbanding RM200 sebelum ini.

Laporan media itu dibuat berdasarkan komen seorang pengguna yang ditemui akhbar berkenaan di pasar dan dia mengulas mengenai kenaikan RM300 dalam kos barangan runcit bulanannya.

Bagaimanapun, sama ada orang yang ditemu duga mahupun artikel itu tidak menjadi menanda aras sejauh mana kos barangan runcit bulanannya memang sebanyak RM200.

Artikel itu juga memetik dua pembeli lain, yang merungut kos tinggi ayam dan tomato.

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia kadar Inflasi kini berada dalam aliran menurun.

Sehingga Mei tahun ini kadar inflasi berada pada paras 2.8 peratus berbanding 4.7 peratus pada Ogos tahun lalu.

Inflasi untuk makanan dan minuman bukan alkohol bagaimanapun berada dalam aliran menurun yang lebih perlahan, iaitu pada 5.9 peratus pada Mei berbanding 7 peratus dari Julai tahun lalu sehingga Feb tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS