Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi menyatakan kesediaan untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Bercakap dalam sidang media hari ini, Amir telah menawarkan diri untuk bertanding tetapi berkata dia akan menyerahkan kepada jawatankuasa pemilihan calon parti dan jawatankuasa negeri untuk memutuskan pencalonannya.
“Saya asalnya tak berminat kepada politik. Saya merasakan orang politik ini hanya bercakapa isu yang menguntungkan mereka.
“Di mana suara yang garang, dahulu di jalan raya, dan jerit menentang korupsi? Tapi skarang ini, tak ada siapa yang bicara tentang isu korupsi.
“Sebab itu kita ambil keputusan bersama rakan, pada asalnya tubuhkan Muda, kita dah muak dan penat dengan politik penipu. Sebab itu, kita ingin bagi alternatif,” kata Amir semasa sidang media bersama Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.
Tegasnya, sudah tiba masanya Malaysia bergerak ke hadapan dan menjauhi “politik lama” dalam usaha menyelesaikan isu-isu yang belum diselesaikan sebelum ini.
“Mungkin ada yang mengatakan saya akan kalah (dalam PRN) tetapi kita tahu bahawa rakyat telah melihat negara ditadbir oleh semua gabungan dari beberapa dekad di bawah BN dan kemudian kepada Pakatan Harapan, Perikatan Nasional-BN, BN-PN, dan kini PH-BN. Malah DAP pernah bekerjasama dengan PAS sebelum ini.
“Saya percaya inisiatif Muda adalah untuk membawa negara kembali ke landasan yang betul dan membina negara menjadi sebuah negara yang progresif dan mempunyai ekonomi yang lebih baik,” tambahnya.
Amir akan membuat penampilan sulung pilihan raya jika diletakkan sebagai calon dalam PRN yang bakal tiba.
Amir dikenali dalam kalangan aktivis belia, termasuk melalui pergerakan Liga Rakyat Demokratik yang diasaskan pada 2015, sebelum dia bergerak aktif dalam politik.