Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pindaan kewarganegaraan: Satu langkah ke hadapan, dua langkah ke belakang - Hakam
Diterbitkan:  Jul 10, 2023 2:09 PM
Dikemaskini: 6:09 AM

Putrajaya digesa supaya tidak memansuhkan undang-undang yang akan memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang ibu bapa kandungnya tidak dapat ditentukan.

Dalam satu kenyataan, badan pemerhati hak asasi manusia Hakam berkata semasa sesi penglibatan baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri mendedahkan bahawa ia bercadang untuk meminda Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Ini adalah pindaan yang telah lama dituntut bertujuan membenarkan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia untuk memohon kewarganegaraan Malaysia. Pindaan ini tidak dipertikaikan.

Bagaimanapun, Hakam membantah cadangan Kementerian Dalam Negeri untuk memansuhkan Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 1(e) bahagian yang sama dalam jadual yang sama.

Hakam menjelaskan Seksyen 19B telah ditafsirkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2022 untuk membenarkan anak dan kanak-kanak yang terbiar dianggap sebagai dilahirkan oleh ibu bapa warga Malaysia pada masa kelahiran jika identiti ibu bapa kandung mereka tidak dapat dikenal pasti.

"Maksud Seksyen 19B, seperti yang ditafsirkan oleh mahkamah persekutuan, adalah untuk mengelakkan keadaan ketiadaan kerakyatan dan menghapuskan sebarang ketidakpastian yang akan berlaku jika ini diserahkan kepada proses budi bicara dan perubahan dasar kerajaan," kata Hakam.

Hakam berkata penghakiman itu juga mempertimbangkan bayi yang ditemui di antaranya di tempat pembuangan sampah, tempat meninggalkan bayi, tandas awam atau sekolah, dan tempat ibadat.

Kumpulan itu berkata dua kes serupa telah diputuskan tahun ini dengan mahkamah bergantung kepada Seksyen 1(e) untuk memberikan kewarganegaraan kepada mereka yang identiti dan kewarganegaraan ibu bapa kandung mereka tidak dapat disahkan.

“Kerajaan mesti berusaha untuk menyatukan dan menambah baik rangka kerja kewarganegaraan sedia ada yang memelihara perlindungan yang terbenam ini dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Mengambil iktibar dan selaras dengan trend kehakiman baru-baru ini yang telah memberi nafas baru dan maruah kepada kumpulan yang terdedah ini.

“Kerajaan berada dalam kedudukan untuk menunjukkan bahawa empati adalah kuasa yang lebih mujarab berbanding kekuatan politik.

“Dan ini adalah titik permulaan keterangkuman, perpaduan, dan konsep Madani bagi fabrik Malaysia,” kata Hakam.

Hakam juga menjelaskan bahawa KDN tidak membentangkan keseluruhan rang undang-undang semasa sesi keterlibatan itu tetapi mengadakan pembentangan mengenai komponen utamanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS