Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kita tidak patut ambil serius, Dr Mahathir sudah tidak relevan - Anwar

Kenyataan Dr Mahathir Mohamad bahawa tindakan kerajaan untuk mempromosikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum adalah melanggar perlembagaan merupakan cubaan terdesak terakhirnya untuk kelihatan relevan dalam politik masa kini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bekas perdana menteri itu, tegas Anwar telah kehilangan pengaruhnya selepas pilihan raya umum ke-15, apa lagi selepas dia mengalami kekalahan besar di kerusi Langkawi.

“(Mahathir) hilang deposit di Langkawi, saya rasa kita tidak patut ambil serius sangat.

“Sudah tentu, (ini) percubaan terakhirnya untuk dilihat relevan. Saya akan menjadikan dia tidak relevan.

"Saya tidak akan mengulas mengenainya," kata Anwar semasa sesi soal jawab pada Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa di Hotel Shangri-la di Kuala Lumpur hari ini.

Dia menjawab soalan bekas presiden Badan Peguam Malaysia, Christopher Leong, yang menjadi moderator sesi itu, sekiranya ada kesan daripada komen Mahathir itu.

Perdana menteri berkata dia tidak faham mengapa negara ini masih perlu "terperangkap" dalam isu negara ini milik kaum apa.

“Saya tidak faham mengapa pada 2023, kita terperangkap. Kami tidak bercakap tentang tadbir urus, kemajuan ekonomi atau teknologi digital.

Gambar fail, Anwar bersama Mahathir ketika dia menjadi PM kali kedua atas sokongan PH pada 2018.

"Kami terperangkap dengan isu negara ini milik siapa," katanya.

Anwar berkata beliau seorang Melayu yang menghormati budaya, tradisi, raja dan bahasa Melayu tetapi itu tidak bermakna beliau perlu bersikap perkauman dan menafikan hak rakyat Malaysia yang lain.

Sebaliknya, kata Anwar kerajaan Madani akan menggunakan "semua kuasa dan sumber" yang mereka ada untuk menangani keadaan yang semakin tegang.

Perlembagaan, katanya, amat jelas mengenai kedua-dua kedudukan istimewa orang Melayu serta menjaga kebajikan semua warganegara Malaysia.

Gambar fail, Mahathir bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan bekas ahli Umno Annuar Musa.

Bekas perdana menteri dua kali itu baru-baru ini membuat kenyataan bahawa mempromosikan Malaysia yang berbilang kaum adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Mahathir juga menuduh orang bukan Melayu, tanpa memberikan bukti, mahu "menukar pemilikan dan nama" Malaysia.

Pada PRU15 lalu, Mahathir yang mewakili Pejuang kalah teruk di Langkawi apabila hilang wang pertaruhan.

Dia mendapat 4,566 undi berbanding calon PN Mohd Suhaimi Abdullah dengan 25,463 undi.

Semua calon Pejuang, termasuk anaknya Muhkriz juga kalah dengan dan hilang wang deposit pilihan raya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS