Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertandingan 4 penjuru bagi jawatan presiden Gerakan, timbalan

Pemilihan parti Gerakan yang akan datang menyaksikan pertandingan empat penjuru bagi jawatan presiden, dengan gandingan calon timbalan masing-masing.

Mereka termasuk penyandang Presiden Dominic Lau yang akan berganding dengan timbalannya, Oh Toh Keong.

Perkara itu umum Pegawai Jawatankuasa Pemilihan Gerakan, Soo Kay Ping pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Tiga calon lain yang akan bertanding bagi jawatan presiden ialah ialah Naib Presiden Gerakan, Michael Gan Peng Lam, Bekas Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng dan Ketua Gerakan Wilayah Persekutuan, Lau Hoi Keong.

Michael akan bergandingan dengan Timbalan Ketua Gerakan Pulau Pinang, Dr Kiew Hen Chong yang akan bertanding jawatan timbalan presiden, manakala Liang pula akan bergandingan dengan timbalan speaker, V Prabakaran yang akan merebut jawatan nombor dua itu.

Manakala Lau pula akan bergandingan dengan Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong yang akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan rundingan bagi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang Dominic untuk jawatan presiden gagal membuahkan hasil.

Dominic dipilih sebagai Presiden Gerakan pada 2018 dan akan mempertahankan gelaran itu buat kali pertama.

Kemenangan bagi jawatan tertinggi itu dalam pemilihan kali ini penting kerana presiden akan menentukan calon bagi pilihan raya enam negeri akan datang.

Empat pesaing juga bersaing untuk merebut tiga jawatan naib presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan pada 15 Julai ini.

Sementara itu, tiada pertandingan bagi menentang penyandang bagi semua jawatan dalam sayap pemuda dan wanita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS