Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kekal dengan pendiriannya yang mendakwa bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin tidak pernah melaksanakan langkah untuk melupuskan pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.
Anwar berkata memang terdapat persetujuan untuk memansuhkan hutang peneroka Felda, tetapi peruntukan itu tidak dibentangkan dalam belanjawan negara pada 2021 dan 2022.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata dia meluluskan pelupusan itu pada penghujung Jun tahun ini.
"Saya bagi contoh, memang ada persetujuan dulu. Tetapi tak selesai Belanjawan 2021 di bawah PN 2022.
"PN tak ada peruntukan untuk menyelesai dan melupuskan hutang Felda. I stand by this record. Hanya dalam Belanjawan Madani untuk 2023, saya mula serahkan RM990 juta peruntukan awal untuk melupuskan hutang Felda yang hutang peneroka jumlahnya RM8.3 bilion ini,” katanya pada majlis 'Temu Anwar' di Kedah hari ini.
Muhyiddin baru-baru ini membidas Anwar kerana "berbohong" berhubung langkah kerajaan melupuskan hutang peneroka Felda.
Dalam satu kenyataan, Muhyiddin berkata hutang peneroka sebenarnya sudah dilupuskan oleh kerajaan pimpinannya pada 2021 lagi.
"Anwar menuduh saya tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda. Ini satu pembohongan besar.
"Pelupusan hutang peneroka Felda telah pun dilaksanakan ketika saya menjadi perdana menteri.
"Namun, oleh kerana kekangan aliran tunai Felda, kerajaan PH-BN tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan,” katanya.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, turut memetik kenyataan bekas pengerusi Felda Idris Jusoh pada 24 Feb lalu bahawa pelupusan pinjaman peneroka Felda bernilai kira-kira RM8.3 bilion telah selesai dilaksanakan pada 2021.
Kementerian Kewangan pada 28 Jun lalu mengumumkan telah perjanjian melibatkan jaminan kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi itu melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.
Jaminan kerajaan itu ditandatangani oleh Anwar, yang juga Menteri Kewangan.
Kementerian itu berkata sebahagian besar daripada penstrukturan semula itu adalah untuk mengurangkan prinsipal hutang Felda dengan institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion.
Penstrukturan semula itu juga mengurangkan kos kewangan Felda terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkan Felda memberikan pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada 2021.