Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan diingatkan supaya tidak campur tangan dalam urusan parti lain, sebaliknya perlu fokus kepada urusannya sendiri.
Amaran tersebut dibuat Setiausaha Agung DAP Anthony Loke selepas pemimpin Bersatu itu mendakwa ada usaha untuk menggantikan ketua menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dengan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim selepas pilihan raya negeri (PRN).
"Adakah Wan Saiful setiausaha agung DAP ke? Saya tanya, adakah dia setiausaha agung DAP dia boleh tentukan calon kita.
“Jadi, tak payahlah nak jaga tepi kain orang,dia sibuk dengan hal dia sendiri,” kata Loke yang juga menteri pengangkutan kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini.
Loke berkata demikian mengulas dakwaan Wan Saiful bahawa terdapat usaha mahu meletakkan Sim sebagai calon bagi kerusi DUN Pulau Pinang dalam PRN 12 Ogos depan.
“Di Pulau Pinang, DAP senyap-senyap…apa yang sedang berlaku, khabar angin sekarang bertiup dengan kencang bahawa ketua menteri Pulau Pinang sekarang ini akan ditukar dengan orang baru. Nama yang disebut-sebut adalah Steven Sim, ahli Parlimen yang mungkin akan bertanding di DUN Pulau Pinang bagi tujuan menggantikan ketua menteri yang ada sekarang ini
“Depa (mereka) tak sembang secara terbuka tapi ini membawa kepada perpecahan dalam DAP juga,” dakwa Wan Saiful dalam program di Jerlun, Kedah, baru-batu ini.