Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan tak bantah jika MCA, MIC mahu sertai PN

Gerakan tidak berhalangan apabila salah seorang pemimpin kanan PN cuba mengajak dua parti bukan Melayu - yang kini masih menjadi sebahagian daripada komponen BN - menyertai gabungan tersebut.

Presiden Gerakan Dominic Lau berkata partinya mengalu-alukan mana-mana pihak yang boleh menerima aspirasi diperjuangkan bersama oleh PN.

“Pendirian Gerakan ialah sesiapa yang bersetuju dengan cita-cita PN - penyayang, integriti, kestabilan, kami boleh menerimanya,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam.

Tambahan pula, kata Lau, Gerakan sendiri sebelum ini menjadi sebahagian daripada komponen BN.

“Jika mereka berhasrat untuk menyertai PN, itu juga bermakna mereka tidak bersetuju dengan PH dan BN. Kami juga telah meninggalkan BN. Parti kami, Gerakan, telah keluar dari BN.

"Jadi jika mereka memutuskan untuk meninggalkan BN dan bersetuju dengan cita-cita PN, saya rasa kami boleh menerimanya,” kata Lau.

Terdahulu timbalan pengerusi PN itu ditanya pandangannya mengenai ajakan dibuat Muhammad Sanusi Md Nor kepada MCA dan MIC untuk menyertai parti gabungan berkenaan.

Sanusi berkata demikian kelmarin selepas kedua-dua parti yang mewakili kaum Cina dan India terbabit membuat keputusan tidak menyertai pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

MCA memberi alasan mereka mahu memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi PRU ke-16, manakala MIC mendakwa keputusan tersebut dibuat semata-mata untuk melindungi kepentingan parti.

Bagaimanapun kedua-dua parti terbabit memberi komitmen untuk membantu calon BN yang bertanding dalam PRN pada 12 Ogos ini, membabitkan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Pada masa sama Lau juga menegaskan pelawaan dibuat Sanusi itu bukanlah keputusan yang datang dari kepemimpinan tertinggi PN sebaliknya hanya pandangan peribadi pemimpin PAS terbabit.

Dia yang juga pengerusi PN Pulau Pinang menegaskan sebarang keputusan besar melibatkan gabungan itu mestilah dibincangkan oleh majlis tertinggi yang ada.

“Ini adalah kenyataan beliau (Sanusi) dan tidak mewakili PN. Hanya keputusan yang keluar daripada perbincangan dalam Majlis Tertinggi PN mewakili PN.

“Bersatu boleh ada pendapat sendiri, PAS boleh ada pendapat sendiri, dan Gerakan boleh ada pendapat sendiri.

“Bagi siapa yang boleh menyertai PN, keputusan itu mesti diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN... itulah pendirian PN,” katanya.

Untuk rekod semalam MCA sudah mengeluarkan kenyataan menolak pelawaan Sanusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS