Paling Popular
Terkini
story images
story images

Pada majlis pelancaran jentera pilihan raya PH dan BN peringkat negeri Selangor malam ini, Pengerusi PH Anwar Ibrahim mempertahankan DAP dan Umno yang kini telah menjadi sekutu dalam politik.

Dalam ucapannya Anwar berkata, meskipun DAP sering menjadi sasaran pembangkang, parti itu tidak pernah membantah segala keputusan kerajaan untuk memberi bantuan kepada orang Melayu dan Islam.

Malah katanya, DAP sentiasa menyokong usaha itu demi kepentingan negara, termasuk usaha terbaru untuk menyelesaikan hutang peneroka Felda serta peruntukan untuk agama Islam.

"Tak habis mantera mereka (kata) DAP, temberang sana sini. Kita tambah peruntukan untuk Islam, tiada bantahan pun, malah (DAP) beri kerjasama.

"Malah ketika saya bentang dalam Kabinet, Presiden Umno (Dr Ahmad Zahid Hamidi) memang setuju, tetapi (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke pun sokong," katanya ketika berucap dalam program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor di Bangi, Selangor, malam ini.

‘Kini mereka marah akaun parti disita’

Dalam pada itu Anwar berkata dia juga tidak bersetuju dengan tindakan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang didakwa berusaha untuk mengharamkan Umno.

"Masa berkuasa sita akaun Umno, tetapi kini marah akaun mereka disita.

"Tetapi ada orang Umno suka sangat dengan mereka," katanya dipercayai merujuk kepada Bersatu.

Pada Disember tahun lalu, Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa terdapat usaha untuk mengharamkan parti itu selepas PRU ke-14.

Bagaimanapun Ahmad Zahid mendedahkan cubaan itu tidak menjadi kenyataan apabila ia ‘diselamatkan’ oleh seseorang, tanpa menamakan individu terbabit.

Mengulas lanjut, Anwar berkata dia mahu jentera PH dan BN bersama-sama berusaha untuk mencapai kemenangan pada enam pilihan negeri yang akan berlangsung 12 Ogos ini.

Anwar menegaskan usaha itu penting untuk tidak membiarkan negara ini ditadbir golongan pelampau dan ‘pengkhianat’.

Katanya, sepanjang lapan bulan menerajui kerajaan, Malaysia menunjukkan pertumbuhan ekonomi malah keyakinan pelabur mula bertambah baik.

"Saya boleh terima (kritikan) dasar ekonomi tak betul, tapi jangan dengan fitnah," katanya.

Terdahulu, PH dan BN melancarkan jentera pilihan raya peringkat negeri Selangor dengan kehadiran pemimpin utama parti-parti gabungan itu malam ini.

Pelancaran Jentera Perpaduan yang berlangsung di laman niaga Bandar Baru Bangi itu turut dihadiri timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi, menteri besar sementara Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi Umno Selangor, Megat Zulkarnain Omardin.

Selain itu barisan menteri kabinet kerajaan perpaduan juga turut hadir.

Majlis terbabit juga menyaksikan kehadiran ribuan penyokong kedua-dua parti itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS