Firma penyelidikan menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus sehingga hujung 2023.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) dan CGS-CIMB Securities Sdn Bhd berkata tinjauan itu adalah berdasarkan jangkaan pertumbuhan dan inflasi yang menyederhana pada separuh kedua tahun ini.
HLIB berkata berikutan prestasi keluaran dalam negara kasar yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku pertama 2023 iaitu pada 5.6 peratus tahun ke tahun, momentum ekonomi Malaysia dilihat perlahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini berikutan eksport yang menguncup kerana permintaan luar yang menurun.
Bagaimanapun katanya, kemerosotan data perdagangan adalah dalam jangkaan BNM.
"Walaupun prospek pertumbuhan tertakluk kepada risiko penurunan yang berpunca daripada perkembangan luaran, risiko kenaikan timbul terutamanya daripada faktor domestik termasuk aktiviti pelancongan yang lebih tinggi daripada jangkaan dan pelaksanaan projek yang pantas," katanya dalam satu nota hari ini.
CGS-CIMB percaya imbangan risiko kepada pertumbuhan kini cenderung ke arah penurunan, dengan kemungkinan kelembapan global kelihatan lebih ketara daripada yang dijangkakan sebelum ini, terutamanya memandangkan kesan yang kurang ketara daripada pembukaan semula China.
Kemerosotan dalam eksport baru-baru ini mungkin mengubah naratif BNM ke arah lebih neutral, sekurang-kurangnya sehingga eksport mula menunjukkan tanda-tanda peningkatan, katanya.
BNM mengekalkan OPR pada 3.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 5-6 Julai, selepas dinaikkan sebanyak 25 mata asas (bps) pada mesyuarat 2-3 Mei.
Maybank Investment Bank Bhd turut mengunjurkan OPR akan dikekalkan pada 3.0 peratus, dengan pandangan berhati-hati terhadap pertumbuhan dan inflasi.
“Bagi baki tahun ini, ekonomi akan dipacu oleh permintaan domestik yang berdaya tahan berikutan keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, terutama dalam sektor berorientasikan domestik, perbelanjaan pengguna yang menyokong ditambah pemulihan dalam ketibaan pelancong dan aktiviti berkaitan pelancongan, di samping kemajuan dalam projek infrastruktur berbilang tahun yang menyokong aktiviti pelaburan,” katanya.
Sementara itu, Public Investment Bank Bhd menjangka BNM akan menggunakan pendekatan berhati-hati, memantau dengan teliti perkembangan penting dasar bank pusat.
Katanya, sekiranya ekonomi domestik Malaysia melebihi jangkaan, adalah tidak mustahil bagi bank pusat mempertimbangkan untuk menormalkan secara beransur-ansur Keperluan Rizab Berkanun kepada 3.00 peratus pada separuh pertama 2024.
“Walau bagaimanapun, sebarang perubahan kepada pendirian dasar monetari semasa akan tertakluk kepada penilaian yang teliti berdasarkan penambahbaikan selanjutnya dalam keadaan makroekonomi, terutamanya pemulihan berterusan pasaran buruh dan pengembangan permintaan domestik yang berterusan serta kadar tekanan inflasi,” katanya.
- Bernama