Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilihan Gerakan: Dominic Lau dijangka berdepan 3 pencabar

Rundingan bagi memastikan persaingan satu lawan satu dengan presiden Gerakan Dominic Lau gagal dicapai.

Setakat ini dijangkakan ada sekurang-kurangnya tiga nama akan mengemukakan borang pencalonan esok untuk mencabar Lau.

Mereka ialah Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan Lau Hoi Keong, Pengerusi Gerakan Melaka Michael Gan, dan bekas setiausaha agung parti itu, Liang Teck Meng.

Malaysiakini difahamkan sebelum ini terdapat percubaan untuk meyakinkan ketiga-tiga mereka agar bekerjasama dengan membentuk satu pasukan bagi meningkatkan peluang mereka untuk berjaya dalam pemilihan.

Ketika dihubungi semalam, Hoi Keong mengesahkan dia akan mencabar Lau.

Dia juga mengumumkan penyandang setiausaha agung parti berkenaan, Mak Kah Keong, sebagai pasangannya.

sementara itu, Gan memberitahu Malaysiakini bahawa dia sudah menjadikan Timbalan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Kiew Hen Chong, sebagai regunya.

Gan berkata, jika dipilih sebagai presiden parti, dia tidak akan mengubah strategi parti terbabit untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang.

"Jika saya dipilih, saya akan kekalkan keputusan yang dibuat dan calon. Tiada masalah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Gan turut berjanji akan menjemput Lau untuk membantunya semasa pilihan raya negeri.

Sebelum ini, Lau - yang mengetuai Gerakan sejak 2018 - memberitahu Malaysiakini dia mengekalkan penyandang timbalan presiden, Oh Tong Keong, sebagai pasangannya.

Sementara itu Liang tidak mendedahkan siapa tokoh yang menjadi regunya dalam pemilihan kali ini.

Lau akan mempertahankan jawatan presiden parti buat pertama kali apabila parti komponen PN itu mengadakan pemilihan pada 15 Julai ini.

Ia menarik perhatian kerana seseorang yang menjadi presiden akan mempunyai kuasa besar untuk menentukan senarai calon bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri pada 12 Ogos ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS