Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Rayuan (bidang kuasa jenayah) membenarkan permohonan Rosmah Mansor untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai ini.

Ia membabitkan rayuan Rosmah untuk membatalkan sabitan dan hukuman ke atasnya berhubung kes rasuah yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Azizah Nawawi pagi ini memberi kebenaran itu sementara menunggu rayuan berasingan Rosmah diputuskan di Mahkamah Persekutuan.

Di hadapan Mahkamah Persekutuan, Rosmah sedang menunggu keputusan atas rayuannya mencabar kesahihan keseluruhan kes rasuah terhadapnya berkaitan pelantikan mendiang Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan.

Semasa prosiding hari ini, peguam Rosmah, Jagjit Singh, berhujah penangguhan itu diminta tanpa berniat untuk menangguhkan rayuan jenayah.

Timbalan pendakwa raya K Mangai pula memaklumkan kepada hakim bahawa mereka tidak mempunyai arahan untuk membantah bidaan penangguhan itu.

Azizah - yang bersidang bersama Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah - sebulat suara membenarkan penangguhan tersebut.

“Memandangkan (pendakwa raya) tidak ada bantahan, kami membenarkan penangguhan itu,” kata Azizah.

Pada 1 Sept tahun lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan kesalahan ke atas Rosmah dalam kes rasuah membabitkan projek untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Isteri Najib Razak itu kemudian dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan hukuman tersebut ditangguhkan sementara menunggu rayuannya diputuskan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah hari ini kemudian menetapkan 18 Sept sebagai tarikh sebutan lanjut kes rayuan Rosmah.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS