Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengisytiharan aset anggota k'jaan diperkenal semula
Diterbitkan:  Jul 6, 2023 8:29 PM
Dikemaskini: 12:29 PM

Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) bersetuju untuk memperkenalkan semula pengisytiharan aset bagi anggota pentadbiran kerajaan.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat JKKMAR yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

"Mesyuarat bersetuju supaya pengisytiharan harta oleh Anggota Pentadbiran dikuatkuasakan semula setelah format baru yang lebih komprehensif bagi pelaporan pengisytiharan harta ini ditambah baik,” katanya pada satu kenyataan.

Pengisytiharan aset awam telah diperkenalkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018 sebagai langkah untuk menggalakkan akauntabiliti dan ketelusan. Ia akhirnya diperluaskan kepada semua ahli parlimen melalui usul di Dewan Rakyat pada tahun berikutnya, walaupun ahli parlimen Umno dan PAS ketika itu enggan mematuhinya.

Maklumat itu dipaparkan secara terbuka di laman web SPRM.

Dalam beberapa bulan selepas Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan perdana menteri, bagaimanapun, versi laman web yang kurang baik telah dilancarkan.

Menjelang 2021, penafian ditambah yang menyatakan bahawa pengisytiharan aset hanya dipaparkan selama tiga bulan selepas ia diserahkan kepada SPRM, yang bermaksud selalunya tiada maklumat disiarkan di laman web.

Laman web itu telah lama tidak berfungsi.

Sementara itu, PMO berkata JKKMAR juga pada dasarnya bersetuju untuk menambah baik Akta Pemberi Maklumat 2010 bagi menyediakan saluran aduan yang lebih dipercayai dan berkesan, dan supaya laporan Ketua Audit Negara dibentangkan secara berkala dalam mesyuarat kabinet.

Bermula dengan Laporan Ketua Audit Negara 2022, PMO berkata laporan itu akan dibentangkan dengan format baharu dan tersusun lebih baik pada mesyuarat kabinet, supaya tindakan susulan segera dan berkesan dapat diambil terhadap setiap isu yang dibangkitkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS