Paling Popular
Terkini

Untuk apa dewan di kawasan rumah pangsa mereka dibina? 

Itu antara keluhan penduduk rumah pangsa Danau Kota di Kuala Lumpur apabila dewan bernilai RM300,000 yang dibina cuma besar sedikit daripada gelanggang badminton.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) Fasa Satu Flat Danau Kota Al Ahadzha Mohamed Liza berkata dewan itu tidak menepati jangkaan dan spesifikasi yang mereka harapkan.

Al Ahadzha Mohamed Liza

Dia antaranya tidak berpuas hati dengan kedudukan dewan itu yang dekat dengan kawasan klinik, tadika serta tempat letak motosikal.

“Sebelum terbina dewan serbaguna ini, kita pun memang ada protes tentang kedudukan tempat dan cadangan macam mana nak bagi keselesaan untuk kegunaan penduduk lima blok.

“Namun, memandangkan projek dah diluluskan, buat sahaja dulu tapi bila dewan dah ada macam ini, ramai yang tidak puas hati,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Kawasan rumah pangsa itu mempunyai satu lagi kawasan yang lebih luas.

Justeru, Al Ahadzha, wanita 50-an itu, berharap Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) berbincang dengan setiap pengerusi persatuan di kawasan flat Danau Kota untuk mendapatkan jalan penyelesaian.

“Kita nak duduk bincang supaya setiap pengerusi dapat satu penyelesaian yang boleh dikatakan untuk kegunaan ramai dan mereka berpuas hati.

“Jadi tidaklah berlakunya pembaziran daripada duit kerajaan. “Macam ini (dewan) saya rasa satu pembaziran sebab tidak tahu untuk kegunaan apa sebenarnya,” katanya.

Kelmarin, bekas anggota parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew membangkitkan rasa tidak puas hatinya dengan hasil kerja yang dimulakan ketika dia masih menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Tan Yee Kew

Katanya, dewan “seperti bangsal itu” tidak setara dengan kosnya sebanyak RM300,000.

Dia menganggarkan kosnya hanya sekitar RM150,000.

Tan malah bercadang untuk memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). 

Menurut penduduk, dewan tersebut siap dibina pada Mac lalu namun tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya susulan lokasi, saiz yang kecil serta tiada dinding.

Projek itu bermula pada Disember 2022.

Kami kena halau, kata Aiman

Sementara itu, Muhd Aiman Muhd Razali, 17,  membangkitkan masalah untuk bersukan di tempat itu.

“Kami nak main (takraw) di sini pun kena halau sebab dia kata tak sesuai. Sedangkan sebelum dewan ini bina, kata boleh main semua sukan dekat sini.

“Bila malam, kami nak main dekat sini tak boleh, terbiar sahaja lampu semua tak pasang jadi dewan ini untuk apa kalau bukan penduduk sini yang nak guna,” kata pelajar tingkatan lima itu.

Muhd Aiman Muhd Razali (kanan sekali)

Katanya, dia dan rakan-rakannya sanggup membayar sewa untuk menggunakan dewan asalkan bersukan dengan mudah.

Pemerhatian Malaysiakini mendapati gelanggang itu hanya mempunyai ruang kecil di kiri dan kanannya dan menyukarkan pergerakan kerana dekat dengan tiang (bawah). 

Badminton pula kurang sesuai dimain di tempat itu memandangkan keadaannya yang terbuka yang mengganggu pergerakan bulu tangkis.

‘Kena kereta siapa nak bertanggungjawab?’

Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa persatuan penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Muhd Faizul pula berkata dewan itu memang tidak sesuai untuk acara sukan atau apa-apa majlis.

“Dewan sini banyak tiang. Bola nanti melantun risau kena kenderaan atau cermin. 

“Badminton boleh lagi tetapi takraw memang tidak boleh sebab bahaya. Kalau kena kereta siapa nak bertanggungjawab,” soalnya.

Muhd Faizul

Untuk majlis tertentu pula, katanya, tidak sesuai diadakan kerana ia bergantung kepada keadaan cuaca.

“Selain itu, apabila keadaan cuaca hujan, memang sukar nak adakan majlis sebabkan tempias.

“Dewan memang dah cantik keadaan terbuka tetapi tiada untuk lindung hujan panas. Itu sahaja masalah utama bagi pendapat saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS