Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PAS dakwa tiket bas ke Kelantan habis, laman web tunjuk masih ada

Ceramah PAS di Kelantan malam tadi dimaklumkan bahawa tiket bas untuk pulang ke negeri itu pada hari-hari sebelum pengundian 12 Ogos telah habis dijual.

Ini, menurut Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman, adalah berikutan keghairahan pengundi Kelantan untuk mengundi di negeri yang dikuasai PAS itu.

Syahir juga mendakwa tiket penerbangan pergi balik ke Kota Bharu telah melonjak naik selepas pengumuman tarikh pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya semalam.

“Dalam duduk isytihar tarikh PRN pada 12 Ogos, dah heboh dah di kalangan anak muda khususnya golongan perantau Kelantan menyatakan tiket bas habis belaka dah. Habis tiket bas.

“Tiket kapal terbang bukan calang-calang harganya. Harga kayangan (penerbangan) pergi-balik dekat RM1,000 dah seorang.

“Maknanya gelombang anak muda, anak perantauan nak balik mengundi ini tinggi.

“Dalam kita rasa teruja saya sampai petang ini, terus ke program muslimat. Muslimat pun bersemangat,” katanya.

Syahir, yang merupakan setiausaha politik kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, membuat dakwaan berkenaan semasa cermah 'Pakat Pertahan Parlimen Bachok' di Kampung Badak, Bachok malam tadi.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini dalam talian mendapati apa yang didakwa ahli politik PAS itu adalah  tidak benar.

Setakat jam 10.40 pagi hari ini, beberapa laman tempahan tiket dalam talian menunjukkan terdapat banyak tiket bas disediakan dari Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang ke Kelantan.

Menurut busonlineticket.com, terdapat banyak tiket yang masih tersedia untuk untuk perjalanan ke Kota Bharu dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur antara Ahad 6 Ogos dan Jumaat 11 Ogos.

Antara pengusaha bas ekspres yang menyediakan perjalanan ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur termasuklah Ekspres Sani, Ekspres Zaim, Ekspres Perdana dan Ekspres Pancaran Matahari.

Semakan juga mendedahkan bahawa beberapa syarikat bas masih mempunyai semua tempat duduk yang belum dipenuhi.

Begitu juga, semakan di laman web redbus.my menunjukkan tiket masih tersedia untuk perjalanan dari Johor Bahru ke Kota Bharu pada 10 dan 11 Ogos.

Manakala dari Pulau Pinang yang merupakan sebuah lagi negeri perindustrian, dua syarikat, Perdana Express dan Transnasional juga masih mempunyai tiket untuk perjalanan ke Kota Bharu pada 7 dan 8 Ogos ini.

Sementara itu, semakan di Google Flights menunjukkan beberapa syarikat penerbangan menawarkan perjalanan pergi balik antara Kuala Lumpur dan Kota Bharu dengan harga kurang RM500.

Antara yang disenaraikan termasuk Malaysia Airlines (RM444), dan Malindo Air (RM326) untuk ke Kota Bharu menjelang hari pengundian dan pulang ke Kuala Lumpur sehari selepas mengundi (13 Ogos).

Dalam respons segeranya, Syahir mempertahankan kenyataannya dengan berkata tiket bas ke lokasi lain di Kelantan sudah habis dijual, manakala tiket ke Kota Bharu terjual dengan pantas.

"Terima kasih @malaysiakini buat semakan. Saya pun buat semakan petang semalam, selepas kawan-kawan maklumkan dalam Whatsapp Group perantau.

Tiket bas destinasi kampung, selain Kota Bharu, termasuk Bachok petang semalam sudah sold out. (Untuk) destinasi Kota Bharu makin cepat terjual," katanya di Twitter.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS