Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN titik mula perjalanan panjang Muda bawa 'politik baru'

WAWANCARA | Muda mencuri tumpuan arena politik negara apabila mengumumkan keputusan untuk "berpisah" dengan Pakatan Harapan (PH) dan bertanding solo pada pilihan raya negeri (PRN) yang semakin hampir.

Keputusan itu mengundang kritikan, dengan beberapa pengkritik menyifatkannya "terlalu tergesa-gesa", manakala beberapa pemerhati politik menggelar langkah itu - yang akan menyebabkan parti berasaskan anak muda itu perlu bersaing dengan tiga gabungan utama - sebagai "misi bunuh diri".

Bagaimanapun, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Malaysiakini bahawa partinya memasuki gelanggang pertempuran dengan pemikiran yang realistik.

Mengakui bahawa Muda kekurangan dana dan kurang berpengalaman, Syed Saddiq (atas) berkata kemasukan solo pasukan politiknya ke dalam pilihan raya negeri (PRN) akan menjadi titik mula untuk perjalanan panjang parti itu menjadi sebagai parti yang mantap serta membawa kepada "politik baru"

“Ia adalah satu tugas yang sukar untuk bersaing secara solo kerana Muda adalah ‘underdog of the underdog’ (parti kecil di kalangan parti kecil lain).

“Kami tidak berhasrat untuk bertanding di semua 245 kerusi, malah tidak sampai 10 peratus daripada keseluruhan kerusi.

“Ia akan menjadi peluang yang baik untuk Muda membawa masuk ‘politik baru’ dan kita mesti bermula awal. Walaupun kami perlu mengambil masa 20 tahun untuk mencapai objektif ini, kami akan berusaha keras,” katanya dalam temu bual eksklusif pada Selasa.

Seperti semut dengan gajah

Sambil menyatakan setiap cabaran pasti ada harganya, Syed Saddiq berkata soal Muda kehilangan wang deposit kerana bertanding sendiri pada pilihan raya negeri bukanlah satu isu.

Ahli Parlimen Muar itu, sebaliknya menyasarkan dalam jangka masa panjang untuk memperkukuh parti yang mengutamakan belia bagi mengemukakan visinya untuk membangunkan negara.

"Ia adalah semut melawan gajah. Kami mengakui bahawa ramai penganalisis telah berkata bahawa kami akan gagal dengan teruk.

“Tetapi ini adalah untuk melatih pemimpin kita dan membina kekuatan supaya dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, apabila kita akhirnya diberi peluang, kita boleh menggegarkan Malaysia untuk membawa masuk politik baru. Ia akan mengambil masa,” katanya.

Tambahnya, ini juga membolehkan Muda tidak bergantung kepada naungan politik untuk mendapatkan sokongan, sebaliknya kepada idea dan ideologinya sendiri.

“Dari segi menang atau kalah dan bagaimana nasib kita, itu adalah kehendak Allah dan kehendak rakyat. Kami akan menerimanya,” katanya.

Muda sebelum ini membentuk pakatan pilihan raya dengan PH pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 dan bertanding di kerusi sukar seperti Tanjung Karang, Tanjung Piai, dan Kota Marudu.

Bagaimanapun, daripada enam calon parlimen, Syed Saddiq merupakan satu-satunya yang berjaya menjadi ahli parlimen daripada parti itu selepas mengekalkan kerusi Muar.

Selepas pembentukan kerajaan, Muda menjadi sebahagian daripada penyokong kerajaan - tetapi mendapati dirinya diketepikan daripada mesyuarat kerajaan gabungan.

Percubaan untuk menyertai PH juga tidak disambut.

Selepas Muda mengumumkan ia akan bertanding secara solo, Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abdul Halim mencabar parti itu menyatakan kedudukannya dalam kerajaan dan jika Muda tidak lagi menyokong pentadbiran, ia boleh menyeberang ke blok pembangkang.

Bosan dengan permainan politik

Sebagai respons kepada kenyataan Adam, Syed Saddiq berkata landskap politik tempatan yang "lapuk" perlu dimatikan kerana rakyat tidak berminat dengannya dan sudah bosan mendengar tentang permainan politik.

Tambahnya, Muda adalah aspirasi rakyat dan harus dibenarkan bertanding secara sihat dan demokratik.

“Kamu sudah berada di Putrajaya, itu perkara paling mustahak

“Biar kita berada di pentas demokrasi dan bertanding secara sihat untuk naikkan Malaysia ke atas, bukan bertanding untuk turunkan Malaysia. ‘The lesser of evils’ - itu bukan politik yang saya mahu bawa.

“Rakyat ingat isu Kapal Tempur Pesisir Laut (LCS), penjara ini dan itu, lawan pemusatan kuasa, beri pembaharuan, adil, kerajaan dan pembangkang diberi peruntukan adil. Sekarang peruntukan pembangakang kosong. Tak ke hipokrit?

“Dulu kita di meja pembangkang ini yang kita lawan, kita didiskriminasi,” katanya.

Suara hati nurani

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, bekas menteri belia dan sukan itu berkata tugas pertama Muda dalam memperkenalkan realiti politik baru di negara ini adalah menjadi suara hati nurani untuk rakyat.

Justeru, dia berkata Muda berazam untuk memainkan peranan semak dan imbang kerana dia berpendapat gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN) masih belum memainkan peranan itu dengan berkesan.

“Kami mahu menjadi semak dan imbang yang paling lantang dan kuat kepada kerajaan hari ini, untuk memastikan kepentingan rakyat tidak pernah dipinggirkan.

“Saya mahu memastikan perbahasan di Parlimen adalah mengenai isu yang paling penting. Apakah pembaharuan yang ingin kita bawa?

“Sebagai contoh, kita mahu memastikan peruntukan (yang diberikan kepada ahli parlimen) adalah adil, tidak kira sama ada dalam kerajaan atau pembangkang.

"Kami juga mahu mengurangkan pemusatan kuasa, dan kami mahu memastikan pelantikan dibuat berdasarkan merit, bukan melalui hubungan politik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS