Bekas ahli parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew bercadang untuk memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika tiada penjelasan yang memuaskan dibuat mengenai projek pembinaan dewan serba guna di flat Danau Kota, Kuala Lumpur.
Menurut Tan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri perlu mencari jalan penyelesaian berkenaan pembinaan dewan tersebut dan kontraktor pula perlu bertanggungjawab.
“ICU sepatutnya mencari jalan sendiri, bukan meminta kami membuat permohonan baru atau serahkan semuanya kepada penduduk sehingga ada yang sanggup keluarkan duit sendiri, ini tidak betul,” katanya ketika membuat tinjauan di petempatan tersebut semalam.
Ahli politik PKR itu juga berkata dia pernah meminta plan reka bentuk dewan berkenaan daripada ICU sebelum ini kerana ia dibina daripada peruntukannya sebagai ahli parlimen.
Bagaimanapun dakwa Tan permohonan tersebut tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Saya minta mereka (ICU) bagi reka bentuk dewan sebab ini peruntukan saya, saya yang bertanggungjawab tetapi tidak dapat, jadi bagaimana ia boleh diluluskan?” katanya.
Tan turut berkata bahawa orang ramai tidak berpuas hati dengan reka bentuk dewan tersebut yang dianggap tidak sesuai untuk kegunaan serta keselesaan orang ramai.
“Ramai yang tak setuju dengan reka bentuknya, ini bermakna kontraktor yang buat (dewan) ini, dia tidak ada pengalaman,” katanya.
Sementara ada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Danau Kota, Kamarul Zaman Mohamad berkata plan projek dewan berkenaan hanya didapati selepas dua bulan projek dewan tersebut disiapkan.
“Plan projek saya dapat pada bulan Mei sedangkan projek siap pada akhir bulan Mac.
"Kalau dewan ini tidak dibuat penambahbaikan, orang ramai akan berburuk sangka, jadi saya buat inisiatif sendiri untuk memenuhi hasrat penduduk,” katanya yang menggunakan duit sendiri untuk membuat sengkuap bangunan tersebut.