Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedudukan Muda dalam k'jaan atau tak bukan isu asas

Soal pendirian Muda sama ada bersama kerajaan atau pembangkang dalam menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) bukanlah isu asas kepada rakyat, kata setiausaha agung parti itu, Amir Hariri Abd Hadi.

Memberikan reaksi kepada Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abdul Halim, Amir yang merujuk timbalan menteri belia dan sukan itu sebagai rakannya mengingatkan, mereka pernah memimpin dan menyertai demonstrasi untuk membantah skandal kerajaan terdahulu.

"Sama ada Muda nak duduk di kerusi pembangkang atau kerajaan ini bukan persoalan yang menjadi prioriti kita.

"Yang menjadi prioriti kita dari awal sehingga kini ialah agenda reformasi seperti yang disebutkan oleh presiden (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman)," katanya semasa sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

Hadir sama Syed Saddiq yang juga Presiden Muda.

Pada 28 Jun lalu - susulan keputusan Muda untuk bertanding secara solo pada PRN di enam negeri tidak lama lagi - Adam Adli menggesa parti itu untuk menjelaskan kedudukannya dalam kerajaan.

Adam Adli berkata jika Muda tidak lagi menyokong kerajaan sekarang, mereka boleh menyeberang ke blok pembangkang.

Sebagai menjawab kenyataan Adam Adli, Syed Saddiq menuntut pemimpin pemuda itu menyatakan pendiriannya terhadap komitmen partinya terhadap agenda reformasi.

Adam Adli dalam satu lagi sindiran kepada Syed Saddiq berkata bekas menteri terbabit tidak sepatutnya menjawab soalannya dengan soalan lain.

"Sebelum ini ketika saya di luar (Malaysia) rakan-rakan yang menggerakkan demonstrasi berkaitan isu Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, antaranya adalah saudara Adam Adli sendiri dan rakan-rakan yang lain. Muda pun ada.

"Ketika dia dilantik (dalam kerajaan), di mana suara (Adam Adli)?" kata Amir merujuk kepada demonstrasi Tangkap Azam Baki.

Protes digerakkan pada Jan tahun lalu adalah sebagai tindak balas kepada pendedahan skandal pegangan saham membabitkan ketua SPRM berkenaan.

"Sebab itu kita kata, pada akhirnya kita kena (tanya) balik, apa prioriti kita?" tambah Amir lagi.

Amir dan Adam Adli adalah individu yang dikenali dalam kalangan aktivis belia, termasuk melalui pergerakan Liga Rakyat Demokratik yang diasaskan pada 2015 sebelum mereka bergerak aktif dalam politik.

Ketika Amir menyertai Muda dan tidak bertanding pada PRU ke-15 lalu, Adam Adli memilih untuk bersama PKR dan akhirnya memenangi kerusi parlimen Hang Tuah Jaya.

Sementara itu Syed Saddiq menjawab sindiran Adam berkata soalan dibangkitkan timbalan menteri belia dan sukan mengenai pendirian Muda telah terjawab.

"Sekarang saya ingin ajukan soalan yang sama. Mana Adam Adli yang anak muda pernah kenal dulu?

"Berani sampai (turun) ke jalan raya untuk tentang rasuah, tapi kini apabila mereka menduduki takhta kuasa, kes-kes berskala besar ditangguhkan indefinitely, mana suara dia?" soalnya.

Ditanya sama ada dia akan kekal di blok penyokong kerajaan jika mana-mana calon Muda memenangi kerusi dalam PRN memilih jadi pembangkang, Syed Saddiq tidak memberikan jawapan yang jelas.

"Fokus Muda adalah untuk menjadi (mekanisme) semak dan imbang untuk rakyat, dan untuk mengeluarkan reformasi politik yang memberi tumpuan kepada rakyat.

“Kami tak ada masalah untuk kalah atau pada masa sama tidak menjadi sebahagian daripada mana-mana kerajaan negeri kerana apa yang kami mahu fokus ialah menjadi suara hati nurani untuk rakyat,” katanya.

Walaupun Syed Saddiq kekal sebagai ahli parlimen tunggal Muda dalam kerajaan selepas PRU ke-15, parti itu telah merenggangkan hubungan dengan PH, khususnya PKR sejak keputusan bertanding di kerusi DUN Larkin pada PRN Johor tahun lalu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS