Seorang pemimpin PKR hari ini menggesa Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dirombak susulan dakwaan kerja pembinaan buruk membabitkan "dewan serbaguna" di bekas kawasan yang pernah dimenanginya sebelum ini.
Bekas ahli parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew berkata dia "terkejut" dengan hasil projek itu di flat Danau Kota, yang dimulakan dengan peruntukan Ahli Parlimennya sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) tahun lalu.
"Untuk memastikan dewan itu dibina seperti yang kita minta, saya telah beberapa kali minta pelan arkitek dewan ini, tetapi sehingga hari ini saya masih belum dapat.
"Saya berasa terkejut dan amat kecewa sebab dewan yang dibina itu jauh dari jangkaan kami semua.
"Dewan dengan nilai RM300,000 itu, struktur tidak boleh dipanggil dewan. Ianya lebih kepada sebuah bangsal.
"Saya telah dijemput untuk menghadiri sambutan hari raya persatuan penduduk. Bila saya sampai saya tanya mereka, mana dewan?
“Mereka jawab, itulah dewan. Saya baru sedar struktur yang merupakan gelanggang bola (futsal) itu lah dewan," katanya dalam sidang media hari ini.
Katanya bilik kecil seperti tandas disediakan untuk tujuan mesyuarat adalah tidak munasabah sama sekali.
Soket elektrik terdedah basah
Berdasarkan bangunan yang ada kini, Tan menganggarkan pembinaannya hanya menelan belanja sekitar RM150,000.
"Bilik yang kecil seperti tandas ini mana boleh digunakan untuk mesyuarat.
"Saya telah memperuntukkan RM300,000, tapi struktur seperti ini saya anggar tidak melebihi RM150,000," katanya lagi.
Selain itu katanya, kerja-kerja pembinaan di struktur itu juga sangat buruk sehinggakan soket elektrik telah dilekatkan pada tiang logam yang terdedah kepada keadaan basah apabila hujan dan boleh membahayakan orang awam.
Dalam pada itu, Tan menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim melihat kemungkinan wujud ketirisan dan kelemahan dalam projek yang melibatkan ICU.
Lebih-lebih lagi apabila jabatan itu berada di bawah bidang kuasa perdana menteri yang tegas menentang rasuah.
"Masa sudah tiba Dato Seri (Anwar) menggegar ICU.
"Saya akan meneruskan isu flat Danau Kota sehingga penyelesaian ditemui untuk memperbaiki keadaannya," tegas Tan.
Rumah pangsa Danau Kota menempatkan kira-kira 5,000 penduduk, terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah.
Tan berkata penduduk telah merayu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mendapat dewan serbaguna selama lebih 10 tahun, tetapi tidak berjaya kerana tiada kawasan yang sesuai.
Disebabkan itu Tan berkata dia memutuskan untuk menggunakan peruntukannya sebagai ahli parlimen untuk membina dewan dalam perkarangan flat itu.
Tan berkata dia telah mengadu mengenai projek itu kepada Pengarah ICU Wilayah Persekutuan, Jamarulslam Abdullah.
Dia meminta ICU untuk membetulkan masalah itu dan diberitahu bahawa siasatan dalaman telah dijalankan dan tiada penyelewengan ditemui.
Tan berkata dan ahli persatuan penduduk berjaya mengadakan pertemuan dengan wakil dari ICU semalam, di mana mereka meminta kerja-kerja menaik taraf dijalankan di dewan itu.
"Bagaimanapun, kami diminta mengemukakan permohonan untuk mendapatkan peruntukan baharu," katanya.