Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kajian yang dijalankan oleh sebuah gabungan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) menunjukkan Selangor menjadi negeri paling "demokratik" di negara ini.

Negeri terbabit muncul di tempat teratas dengan perolehan mata 69 peratus dalam inisiatif Malaysia Democracy Watch digerakkan Platform CSO untuk Pembaharuan.

Tempat kedua diisi oleh Perak (60 peratus) diikuti Negeri Sembilan (54 peratus) di tempat ketiga.

Sementara itu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Terengganu dan Perlis mencatat markah terendah masing-masing 40 peratus, 37 peratus dan 34 peratus.

Menurut ketua bahagian reformasi parlimen dan DUN CSO itu, Tharma Pillai, data tersebut dikumpulkan daripada maklumat awam melalui laman sesawang rasmi kerajaan negeri, perbahasan dan temu bual dengan Adun.

Katanya mereka menjalankan kajian itu selepas berakhirnya PRU ke-15 pada Nov tahun lalu.

Antara yang menarik dalam dapatan itu ialah DUN Perlis dan Perak hanya mengadakan sidang selama enam hari setiap tahun. Ia secara tidak langsung menggambarkan kegagalan badan perundangan negeri memainkan peranan mereka.

Satu lagi yang menonjol ialah pelantikan wakil pembangkang menjadi pengerusi jawatankuasa kira-kira awam (PAC).

Sebelum ini jawatan tersebut diberikan kepada wakil dari blok kerajaan dan hanya ditukar semasa PH menjadi kerajaan selepas PRU ke-14 pada 2018.

Kata Tharma Pillai, pemilihan wakil pembangkang sebagai ketua PAC membolehkan sebarang langkah kerajaan dinilai secara kritikal oleh badan tersebut.

“Semak dan imbang boleh dilakukan secara menyeluruh kerana mereka tidak terikat dengan kerajaan,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Pengasas bersama gerakan Undi18 itu berkata Malaysia harus belajar daripada negara maju lain untuk menganjurkan sesi soalan kepada pemimpin negeri seperti yang dibuat untuk Datuk Bandar London.

CSO itu juga memuji pembaharuan yang dibawa kerajaan ke Dewan Rakyat melalui sesi Soalan Perdana Menteri apabila ia membolehkan seseorang ahli parlimen mengemukakan pertanyaan terus kepada perdana menteri.

"Ini adalah satu langkah yang baik dan DUN perlu mencontohinya di peringkat negeri," katanya.

Sementara itu mereka berharap parti politik dan calon yang terlibat dalam enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi akan mengambil kira data yang mereka berikan.

Kata Tharma Pillai bagi negeri yang berada di kedudukan rendah bolehlah memasukkan pembaharuan yang berkaitan dalam manifesto masing-masing untuk ditawarkan kepada pengundi.

Kajian itu membabitkan 14 parameter iaitu termasuk pemilihan anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bilangan Jawatankuasa Pilihan Khas (SSC), waktu soalan perdana menteri atau menteri besar, pemilihan jawatankuasa tetap serta pengiktirafan ke atas ketua pembangkang.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS