Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan Rosmah untuk tangguh rayuan kes rasuah pada 7 Julai

Mahkamah Rayuan menetapkan Jumaat minggu ini untuk mendengar permohonan Rosmah Mansor untuk menangguhkan pendengaran rayuannya pada pertengahan Julai bagi membatalkan sabitan rasuah serta hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ke atasnya.

Peguam Akberdin Abdul Kader, yang mewakili isteri bekas perdana menteri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara, pagi tadi mengesahkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 7 Julai tersebut.

Peguam itu menambah bahawa pasukan pembelaan Rosmah serta pihak pendakwaan telah bertukar dokumen untuk perbicaraan. Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak pendakwaan berhubung perkara itu.

Rayuan rasuah Rosmah - melibatkan projek tenaga hibrid solar RM1.25 bilion untuk 369 sekolah di Sarawak - pada mulanya ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Rayuan (bidang kuasa jenayah) pada 11 Julai.

Bagaimanapun, bulan lalu, Rosmah dilaporkan berusaha untuk menangguhkan perbicaraan rayuan utama kes rasuah solarnya pada Julai, sementara menunggu penyelesaian satu lagi rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Rayuan di mahkamah tertinggi itu adalah berhubung permohonannya untuk mendapatkan kelulusan bagi memulakan cabaran di mahkamah sivil untuk membatalkan keseluruhan kes rasuah terhadapnya.

Pada 1 Sept tahun lalu, Mahkamah Tinggi (bidang kuasa jenayah) Kuala Lumpur mendapati dirinya bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ke atasnya.

Bagaimanapun, dia memperoleh penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman itu, sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Berhubung cabarannya di mahakamah sivil, Rosmah berhujah bahawa kes rasuah solar terhadapnya adalah terbatal dari awal kerana pelantikan tidak sah bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kes itu.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menangguhkan prosiding rayuan kes rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, akan didengar Jumaat ini.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu berkata pihaknya telah menghantar surat kepada mahkamah bulan lepas bagi memaklumkan mengenai penangguhan prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan itu.

"Mahkamah menetapkan Jumaat ini (7 Julai) untuk mendengar permohonan berkenaan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Sepatutnya, rayuan Rosmah terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah itu akan didengar selama empat hari bermula 11 Julai.

Menurut Akberdin pihaknya memohon penangguhan bagi membolehkan rayuan Rosmah berhubung pelantikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan diputuskan terlebih dahulu di Mahkamah Persekutuan.

Pada 22 Jun, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah solar itu.

Pada 1 Sept tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS