Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KATA MP | Serangan pada DAP menunjukkan PAS tandus idea

Saya merujuk kepada laporan berita disiarkan semalam bertajuk “PAS desak DAP dihukum kerana mainkan sentimen 3R” yang memetik kenyataan Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin.

Khairil Nizam dilaporkan mendesak tindakan ke atas DAP selepas mendakwa parti ini memainkan sentimen 3R (agama, perkauman dan raja-raja) menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Seperti biasa, PAS terus memainkan naratif sumbang “semua salah DAP” mereka lebih-lebih lagi menjelang PRN akan datang.

Taktik lapuk seperti ini sudah pun boleh dijangka sekali gus mencerminkan realiti bahawa pihak di sebelah sana sudah ketandusan idea.

Untuk makluman Khairil Nizam, dasar perjuangan DAP jelas mendukung sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Dasar ini telah pun termaktub dalam satu dokumen penting DAP iaitu Deklarasi Shah Alam 2012 dengan kandungan seperti berikut:

i) Mempertahankan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.

ii) Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

iii) Memastikan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.

iv) Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, serta menggalakkan penggunaan dan pengajian bahasa-bahasa ibunda lain untuk membentukkan masyarakat yang cemerlang dan berbilang bahasa.

Justeru, sudah terang lagi bersuluh bahawa landasan perjuangan DAP sentiasa selari dengan perkara-perkara yang disebut di atas.

Sebaliknya, apa yang membimbangkan kita adalah kenyataan-kenyataan yang keluar dari pemimpin-pemimpin PAS sendiri yang dilihat menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini.

Warna-warni kepelbagaian 

Salah satunya, adalah kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.

Sebelum ini juga, heboh di media sosial Abdul Hadi terus mempertikaikan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10. Berita Harian melaporkan, ini kerana beliau dikatakan menyindir keputusan pihak Istana Negara apabila mengaitkan pelantikan itu dengan masa kecederaan dalam perlawanan bola sepak.

Menggunakan analogi perlawanan bola sepak, timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, cara pelantikan Anwar umpama memberikan masa tambahan bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) mengumpul lebih banyak ahli parlimen bagi menyokongnya.

Saya berharap isu-isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat terutama membabitkan sentimen 3R tidak lagi dijadikan modal politik menjelang pilihan raya oleh mana-mana pihak sekali pun.

Perlu saya ingatkan bahawa sejarah manusia kita ini telah disulami dengan warna-warni kepelbagaian budaya, etnik dan agama yang tidak terkira banyaknya. Kepelbagaian inilah yang membawa kepada kekayaan dan keindahan dunia kita.

Walau bagaimanapun, di sebalik kemajuan yang kita capai sebagai masyarakat global, ketaksuban agama (religious bigotry) terus membayangi kesedaran kolektif kita.

Justeru itu, adalah penting untuk menyedari kepentingan melindungi kepelbagaian ini dan menghapuskan ketaksuban agama, ke arah memupuk persefahaman, keamanan dan keharmonian dalam kalangan individu serta masyarakat.

Pergerakan ekstremis lazimnya menunjukkan kecenderungan untuk membelakangi hak asasi manusia dan kebebasan. Dengan mengenakan dogma tegar dan kepercayaan tidak bertoleransi, pergerakan ini menyekat kebebasan bersuara, beragama dan hati nurani. Mereka memudaratkan prinsip demokrasi, kesaksamaan, dan keadilan, memupuk persekitaran penuh ketakutan dan penindasan.

Bertindak mengeksploitasi perpecahan dan mengapi-apikan kebencian, golongan ekstremis memperdalam jurang sosial, membawa kepada peningkatan diskriminasi, prasangka dan peminggiran. Penghakisan perpaduan sosial ini melemahkan ikatan yang menyatukan komuniti, membantut kemajuan, dan menghalang usaha kolaboratif untuk menangani cabaran bersama.

Dalam kes yang ekstrem, ia juga boleh membawa kepada pecahan fabrik sosial dan kemunculan pergolakan masyarakat.

Sehubungan itu, saya mengajak rakyat tanpa mengira kaum, agama atau kedudukan geografi untuk bersama menghalang pergerakan ekstremis ini dan seterusnya memupuk persefahaman, keamanan dan keharmonian antara satu sama lain demi Malaysia yang lebih baik untuk generasi akan datang.


SYERLEENA ABDUL RASHID ialah anggota parlimen Bukit Bendera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS