Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiong tak hadir jumpa SPRM
Diterbitkan:  Jul 3, 2023 5:06 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing nampaknya tidak hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Media telah menunggu menteri itu dan pelancong yang "diselamatkannya" sejak 8 pagi tadi, tetapi kedua-duanya tidak kelihatan.

Mereka sepatutnya disoal siasat oleh SPRM hari ini berhubung insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), apabila pelancong warga China itu disekat masuk.

Tiong mendakwa terdapat rasuah yang terlibat dalam kejadian itu, mendorong siasatan oleh SPRM.

Malaysiakini difahamkan bahawa Tiong tidak akan hadir untuk bertemu suruhanjaya antirasuah itu hari ini.

Terdahulu, menteri itu juga meminta petugas media tidak menunggunya di ibu pejabat SPRM.

"Kenapa tunggu di sana? Siapa suruh awak tunggu? Balik. Pergi buat perkara lain yang lebih produktif," katanya kepada NST.

"Kami mahu menyelesaikan perkara ini dengan cara yang baik. Mengapa anda mahu menyebabkan lebih banyak kerosakan," katanya.

Pada Khamis, Tiong melepasi kaunter imigresen untuk "menyelamatkan" seorang pelancong yang ditahan.

Menteri itu mengakui perbuatannya itu, yang menurutnya bertujuan mendedahkan rasuah di kalangan pegawai di KLIA dan warga China itu bukanlah orang pertama yang menerima layanan sedemikian apabila tiba di Malaysia.

Selepas wanita itu - yang bekerja di stesen TV milik kerajaan China - disekat masuk, bosnya menghubungi konsulat Malaysia di Guangzhou, yang kemudian menghubungi Tiong.

Jabatan Imigresen telah membuat laporan polis berhubung perkara itu, dan menafikan dakwaan rasuah.

Menurut Kosmo, laporan polis itu turut menyatakan wanita itu dinafikan masuk kerana tidak mempunyai tiket pergi dan balik, dan tidak menyatakan dengan jelas di mana dia akan tinggal semasa berada di Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS