Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa tindakan mempromosi negara berbilang bangsa adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam hantaran terbaru di media sosial Facebooknya hari ini, Mahathir sekali lagi membangkitkan isu yang dekat dengan hatinya mengenai ancaman DAP kepada orang Melayu dan Islam.
Mahathir berkata, apa yang dibangkitkanya adalah perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Kerajaan sekarang mendakwa Malaysia adalah negara demokratik. Kononnya ada kebebasan bersuara.
"Saya hanya menyuarakan peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia. Apakah mempertahankan Perlembagaan Malaysia menyalahi undang-undang.
"Sebaliknya bertentangan perlembagaan ialah mempromosi negara berbilang bangsa. Apakah kerajaan sekarang menolak the rule of law, termasuk Perlembagaan Malaysia yang tidak pernah sebut Malaysia sebagai negara berbilang kaum.
“Sebaliknya perlembagaan menekankan kemelayuan Malaysia," katanya dalam hantaran berkenaan.
Mengulas mengenai DAP, bekas ahli Parlimen Langkawi itu berkata parti itu "mengikat" Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan jumlah kerusi dimenanginya.
"Ya. DAP cuma ada empat menteri. Tetapi dalam kerajaan terdapat 40 ahli (parlimen) DAP. Jika DAP tarik diri kerajaan Anwar akan jatuh.
"Sebab itu Anwar terpaksa turut manifesto DAP, khusus menjadi Tanah Melayu negara pelbagai kaum dan agama rasmi Islam diganti dengan negara sekular – negara yang tidak ada agama rasmi.
"Maka tergugurlah keahlian Malaysia dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)," katanya lagi.
Dia sebelum ini mendakwa orang bukan Melayu sedang berusaha untuk menukar "nama dan pemilikan" Malaysia.