Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Enam mesin pengimbas kastam rosak di KLIA mula dibaik pulih hari ini

Kerosakan enam daripada tujuh mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di KLIA akan mula dibaik pulih hari ini, kata Timbalan Menteri Kewangan I Ahmad Maslan.

Ahmad berkata pembaikan itu membabitkan kos lebih RM1 juta dan kementerian tidak mempunyai halangan untuk meluluskan sebarang baik pulih yang dikemukakan daripada mana-mana agensi atau jabatan setakat ini.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Integriti Akademi Kastam Diraja Malaysia (Akmal) dengan Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) dan Regional Office for Capacity Building (ROCB) di Bukit Baru, Melaka yang turut dihadiri Ketua Pengarah JKDM Datuk Zazuli Johan.

Sementara itu, Zazuli berkata kawalan agensi berkenaan di KLIA tidak hanya bergantung kepada mesin pengimbas semata-mata, malah beberapa cara turut digunakan JKDM dalam melindungi keselamatan di pintu masuk utama negara.

Dia berkata antara kaedah digunakan ialah pemerhatian pegawai di lapangan terbang terhadap kehadiran penumpang yang baru tiba dari mana-mana negara di lapangan berkenaan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini dilaporkan berkata dia mendapati hanya satu daripada tujuh pengimbas barangan sahaja beroperasi di KLIA dan mahu keadaan itu diperbaiki segera.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS