Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Laporan awal tragedi Jeram Mawar dalam masa terdekat

Laporan awal mengenai kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, dekat Chukai di Kemaman, Terengganu dijangka siap dalam masa terdekat, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dia berkata ketika ini Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) masih melakukan tinjauan awal di lokasi kejadian dan pihak polis sedang melakukan siasatan.

"Sekarang sudah ada tinjauan awal daripada pihak JMG dan siasatan polis, laporan mengenai kejadian itu akan siap dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja projek membina dan menaik taraf sistem saliran di negeri Kelantan dekat Taman Wadi Iman, Kok Lanas, di Kota Bharu hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Mawar pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Dalam kejadian itu, dua mayat telah ditemukan orang ramai pada 12.30 tengah hari semalam iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.

Tujuh sekeluarga yang masih hilang ialah Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Seorang lagi individu yang hilang ialah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor yang turut serta dalam perkelahan keluarga terbabit.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS