Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Azmin Ali mengunjungi bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Siti Hasmah dalam satu jamuan teh sempena sambutan Aidiladha semalam.
Azmin dalam laman Instagramnya berkata, dia ditemani isteri Shamsidar Taharin dan mereka dirai mesra dengan pelbagai juadah raya oleh kedua pasangan itu.
Dalam kunjungi itu, Azmin berkata Mahathir menceritakan hasil lawatan kerja baru-baru ini ke United Kingdom, Turkiye dan Bosnia Herzegovina.
"Tun turut memberi pandangan kepada saya mengenai situasi politik semasa di tanah air.
"Selain isu ekonomi dan kos sara hidup, Tun secara tuntas mengajak umat Melayu untuk bersatu melawan musuh yang mempunyai agenda yang tersirat," katanya.
Menurut Azmin, jadual Mahathir kini padat dengan pertemuan dan perbincangan berkaitan isu geopolitik, ekonomi dan cabaran global.
"Menurut Tun, dunia berdepan dengan masalah yang sama; climate change, pandemic, populasi yang mencecah 8 bilion, ekonomi yang tidak menentu.
"Tun M membangkitkan tiada satu pun badan global yang dapat menangani masalah sejagat ini secara bersama," kata Azmin.
Azmin berkata di Turkiye, Presiden Recep Tayyip Erdogan dan isteri, Emine Erdogan memberikan penghormatan istimewa kepada Mahathir dan Siti Hasmah.
"Turkiye telah meminta nasihat Tun dan ingin bekerjasama dengan Tun untuk menjayakan Istanbul Summit berdasarkan pengalaman dan kejayaan Tun memimpin KL Summit,"katanya.
Dalam hantaran itu Azmin turut mendoakan kesejahteraan Mahathir dan isteri yang masing-masing akan menyambut ulangtahun kelahiran ke-98 dan ke-97.
"Syukur Allah SWT mengurniakan nikmat kesihatan kepada Tun berdua dan moga mereka akan terus dilindungi dan dirahmati oleh Allah SWT," ujarnya.
Azmin pernah berkhidmat sebagai menteri hal ehwal ekonomi ketika pentadbiran Mahathir antara 2018 dan 2020.
Pada Februari 2020, Azmin menjadi tokoh utama dalam menggerakkan "Langkah Sheraton", yang memaksa Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri, serta membuka laluan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk dilantik menjadi perdana menteri.
Ketika ini Mahathir mengetuai gerakan Proklamasi Melayu, yang mendapat sokongan daripada Muhyiddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Mahathir juga menyatakan dia kini menyokong Perikatan Nasional untuk pilihan raya enam negeri akan datang.