Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Doa 'ambil nyawa' Hadi: Zaki mohon maaf jika 'guris perasaan'
Diterbitkan:  Jul 3, 2023 11:36 AM
Dikemaskini: 4:22 AM

Pengguna media sosial Zaki Yamani membuat permohonan maaf atas ciapannya yang mendoakan agar Allah "mengambil nyawa" Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Ciapan itu di saat Abdul Hadi dilaporkan menerima rawatan di sebuah hospital selepas kesihatannya merosot sejak Hari Raya Aidiladha.

“Mengambil perhatian ciapan perdana menteri Anwar Ibrahim dan pandangan rakan-rakan, saya memohon maaf kepada isteri-isteri dan keluarga Abdul Hadi Awang andai ciapan saya ini mengguris perasaan,” kata Zaki yang dianggap dekat dengan PKR di Twitter hari ini.

Namun apabila seorang individu menyatakan permohonan maaf itu seakan "gaya PAS" kerana disertakan "jika mengguris perasaan", Zaki membalasnya dengan ketawa.

Dalam ciapan yang dibuat pada 1 Julai lalu, Zaki juga mengaitkan doanya itu dengan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Doa: Ya Allah! Ambillah nyawa Abdul Hadi Awang. Hentikan kerosakan yang dilakukannya di muka bumi. Hentikan fitnah yang dibawanya terhadap agama-Mu. P/S: Ambil sekali Mahathir," ciapnya.

Susulan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Zaki segera memohon maaf kerana bersikap biadab ke atas Abdul Hadi.

Kata Anwar Zaki perlu memohon maaf segera atas keterlanjurannya kepada presiden PAS berkenaan.

Keadaan kesihatan Abdul Hadi yang juga bekas duta khas bertaraf menteri itu dimaklumkan sendiri oleh anaknya Muhammad Khalil Abdul Hadi, menerusi catatan di Facebook pada pagi 1 Julai lalu.

Menurut Muhammad Khalil, bapanya berada dalam keadaan uzur ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya Pemuda PAS Terengganu pada 27 Jun lalu.

Hadi yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dilaporkan telah dipindahkan dari unit rawatan jantung (CCU) ke wad biasa semalam.

Kali terakhir Abdul Hadi dilaporkan dimasukkan ke hospital ialah pada Feb tahun lalu apabila dia mengalami sesak nafas, sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS