Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin DAP S'wak puji tindakan Tiong di KLIA
Diterbitkan:  Jul 3, 2023 11:13 AM
Dikemaskini: 3:13 AM

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing menerima pujian daripada seorang pemimpin DAP Sarawak atas tindakannya ke kaunter Imigresen di KLIA baru-baru ini.

Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling berkata dia percaya Tiong tiada agenda peribadi dalam memeriksa aduan yang dibuat seorang pelancong dari China tersebut.

"Setiap menteri, timbalan menteri dan pegawai tinggi kerajaan perlu selalu turun padang - walau tanpa makluman awal - agar mereka boleh lihat keadaan sebenar.

"Jangan rancang lawatan rasmi di mana semua ditunjukkan dengan baik, maka lawatan anda hanyalah formaliti," katanya seperti dipetik Borneo Post.

Pada Sabtu lalu, Tiong melepasi kaunter Imigresen di KLIA selepas menerima aduan daripada seorang warga China dilarang masuk.

Alan Ling

Tiong berkata individu itu memiliki dokumen perjalanan yang lengkap dan mendakwa tindakannya itu telah mendedahkan amalan rasuah segelintir pegawai di pintu masuk negara.

Warga China itu kemudiannya dibenarkan masuk ekoran campur tangan Tiong.

Sementara itu, Ling yang juga senator menggesa pegawai Imigresen untuk sentiasa bersikap profesional dan berbudi bahasa ketika berurusan dengan pelancong asing kerana mereka lazimnya merupakan warga Malaysia pertama yang ditemui mereka.

Dia juga menggesa agar Kementerian Dalam Negeri memastikan prosedur operasi standard dilaksanakan berkenaan perkara itu.

"Jabatan Imigresen sepatutnya menerima pendedahan menteri secara terbuka dan menilai diri sendiri...

"Mereka (pegawai Imigresen) perlu membuat penambah baikan agar Jabatan Imigresen dapat menjadi organisasi kerajaan kelas dunia yang dihormati semua," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS