Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin menggesa portal MalaysiaNow menarik balik artikel yang mengaitkan dirinya dengan seorang individu yang membuat hantaran mendoakan kematian Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Walaupun individu bernama Zaki Yamani itu pernah menjadi setiausaha Pemuda PKR ketika Shamsul memimpin sayap itu pada 2007, dia menegaskan "itu tidak membawa sebarang perkaitan atau makna pada masa kini dalam mana-mana kapasiti rasmi".
"Saya menggesa MalaysiaNow menarik balik dakwaan mengenai kaitan individu tersebut dengan saya mahupun institusi Pejabat Perdana Menteri secara keseluruhannya.
"Dakwaan mengenai perkaitan itu adalah sangat tidak wajar untuk dipolemikkan tanpa asas yang jelas," katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Shamsul, dia telah menghubungi anak Abdul Hadi untuk mendapatkan perkembangan terkini berkenaan keadaan kesihatan ahli parlimen Marang itu.
"Mewakili perdana menteri dan Pejabat Perdana Menteri, kami mendoakan keafiatan Tan Sri (Abdul Hadi) dan berharap agar ruang berziarah dapat diadakan seusai dia kembali stabil kelak," katanya lagi.
Semalam, Anwar mengarahkan Zaki agar memohon maaf atas hantaran yang dibuatnya.
Ia selepas Zaki dalam ciapan di Twitter mendoakan agar Allah "mengambil nyawa" Hadi, yang dilaporkan menerima rawatan di sebuah hospital selepas kesihatannya merosot sejak Hari Raya Aidiladha.
Dalam ciapan tersebut, Zaki turut mendoakan perkara sama kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Semalam, Hadi yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dilaporkan telah dipindahkan dari unit rawatan jantung (CCU) ke wad biasa.
MalaysiaNow dalam satu artikel bertajuk "Orang kuat PKR doakan kematian Hadi, Dr Mahathir" antara lain mendakwa Zaki merupakan pembantu Shamsul dan ciapan itu "petanda Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bakal menyaksikan ahli politik beralih kepada serangan peribadi yang lebih teruk".
Sementara itu, Zaki menjelaskan dia bukan pembantu kepada mana-mana setiausaha politik perdana menteri.