mk-logo
Berita

BN Negeri Sembilan dikatakan mengintai untuk bertanding di DUN Chennah pada pilihan raya negeri akan datang.

Penyandang kerusi DUN Chennah, yang juga Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata dia menyerahkan perkara tersebut kepada pengerusi gabungan PH dan BN untuk membuat keputusan.

Loke berkata dia telah menyatakan pendirian DAP mengenai perkara itu kepada Pengerusi PH Anwar Ibrahim pada satu mesyuarat beberapa hari lalu.

Katanya, dia percaya Anwar akan membuat "keputusan paling bijak untuk PH dan pada masa sama juga memuaskan hati BN."

“Anwar cakap biar dia berunding. Pusingan terakhir rundingan akan membolehkan pengerusi PH dan BN (Anwar dan Ahmad Zahid Hamidi) membuat keputusan.

“Oleh itu, parti-parti komponen perlu memberi kepercayaan dan membiarkan pengerusi mereka berunding dan membuat keputusan.

"Kita perlu menghormati antara satu sama lain, jika tidak, kita tidak akan mempunyai keadaan politik yang stabil," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa DAP Negeri Sembilan di ibu pejabatnya, di Seremban hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi DUN Chennah atau tidak pada saat pilihan raya yang semakin hampir, pengerusi DAP negeri itu tidak memberikan jawapan yang pasti.

“Itu akan dijawab selepas pembahagian kerusi dimuktamadkan. Saya akan memberitahu anda apabila tiba masanya.

"Saya fikir kita akan mendapat keputusan (berdasarkan rundingan) dalam masa seminggu," katanya.

Ini selepas Pengerusi BN Negeri Sembilan Jalaluddin Alias meminta dua dari 20 kerusi yang disandang PH untuk bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.

Nanyang Siang Pau melaporkan Jalaluddin (gambar, bawah) telah meminta PH memilih dua kerusi daripada senarai cadangan empat DUN yang diserahkan kepada gabungan itu.

Salah satu kerusi itu termasuk kerusi DUN Chennah yang disandang Loke.

Jalaluddin dipetik oleh akhbar harian berbahsa Cina itu berkata dia percaya MCA akan mempunyai peluang tinggi untuk muncul sebagai pemenang di kerusi itu.

“Jika PH melepaskan kerusi itu, ia akan diserahkan kepada MCA,” katanya.

Sementara itu, Loke juga menolak spekulasi bahawa dia akan bertanding di Pulau Pinang pada pilihan raya negeri akan datang ini.

"Saya belum fikir perkara itu, saya boleh tunjuk kad pengenalan saya masih beralamat di Negeri Sembilan. Itu saja saya boleh jawab.

"Kalau bertanding di Pulai Pinang, saya kena tukar alamat," jelasnya.

Sebelum ini, Sinchew Daily pernah melaporkan desas-desus Loke mungkin akan bertanding di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow juga telah menafikan khabar angin tersebut.

Muka baru

Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata DAP akan meletakkan beberapa muka baru dalam pilihan raya negeri Negeri Sembilan.

Katanya, nama dan senarai penuh calon yang akan diletakkan pada pilihan raya negeri dijangka dimuktamadkan dalam beberapa minggu akan datang.

“Perlu ada proses perubahan supaya ada muka baru, itu perkara biasa dalam PRN. Begitu juga untuk pilihan raya ini, akan ada muka baru.

“Jadi bukan semua penyandang akan dicalonkan lagi, tetapi itu bukan maksud penyandang tidak baik. Faktor lain yang perlu kira, supaya ada proses untuk bawa wajah baru ,” jelasnya.

Selain itu, Loke berkata dia akan turun berkempen untuk Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan (gambar, atas) di Rantau dan DAP juga mengalu-alukan kehadirannya di kawasan yang akan ditandingi DAP.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan secara rasminya dibubarkan hari ini, membuka laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

Pada PRU14, PH meraih 20 kerusi terdiri daripada DAP (11), PKR (enam) dan Amanah (tiga), manakala BN memenangi 16 kerusi, dengan Umno 15 kerusi dan satu, MIC.

[Baca berita asal]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS