Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu kompaun pakaian tak sopan selesai - Nga
Diterbitkan:  Jul 1, 2023 5:11 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Isu kompaun yang dikenakan terhadap seorang peniaga wanita bukan Islam berpakaian kurang sopan di Kelantan telah selesai dan ia tidak sepatutnya dipanjangkan oleh mana-mana pihak, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau berkata ini kerana kompaun berkenaan telah dibatalkan selepas satu sesi perbincangan diadakan antara Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

"Isu ini telahpun selesai dan saya harap kejadian sedemikian tidak akan berulang.

"Kita perlu menghormati Islam dan bukan Islam juga perlu dibela, itu semua dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi lawatan kerja sekitar kawasan Fair Park di Ipoh, hari ini.

Nga turut berkata bahawa tidak timbul isu campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam urusan pentadiran kerajaan tempatan seperti didakwa sesetengah pihak.

"Saya cuma ingatkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT), apabila kita menguatkuasakan undang-undang, jangan terlalu ghairah.

“Sebaliknya, kita harus memahami intipati dan semangat Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Pada 26 Jun lalu, seorang wanita bukan Islam dikompaun kerana berpakaian tidak sopan dengan berseluar pendek di tempat awam.

Tindakan kompaun diambil kepada wanita berusia 35 tahun itu ketika pemeriksaan mengejut di kedainya di Jalan Merbau, Kota Bharu, Kelantan selaras dengan Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB 2019.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS