Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin restui pecat ahli sayap Bersekutu Bersatu - Chong

Pengerusi Sayap Bersekutu Bersatu Chong Fat Full berkata pemecatan beberapa pemimpin penaja telah direstui oleh Presiden parti Muhyiddin Yassin.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pergolakan dalam cabang anggota bukan bumiputera Bersatu itu.

Ini selepas sekurang-kurangnya tiga pemimpin penajanya dipecat serta merta.

Tiga pemimpin tersebut ialah naib ketua sayap bersekutu parti Mahaganapathy Dass, ketua penerangannya S Subramaniam dan ahli exco MU Raja.

Pengerusi Sayap Bersekutu Bersatu Chong Fat Full.

"Subramaniam dan Mahaganapathy bukan dalam exco sayap Bersekutu (Bersatu) nasional. Mereka berdua tidak pernah menerima watikah lantikan dari mana-mana pihak. Watikah lama ditamatkan supaya watikah baru dapat dikuatkuasakan tanpa sebarang kekeliruan.

"Watikah baru telah ditandatangani oleh Tan Sri presiden Bersatu (Muhyiddin) sendiri pada 6 Jun 2023.

"Ini bermakna pelantikan exco baru Sayap Bersekutu Bersatu Nasional dibuat dengan pengiktirafan presiden," katanya kepada Malaysiakini.

Ketua penerangan Sayap Bersekutu Bersatu yang dipecat, S Subramaniam .

Bagaimanapun, Chong tidak menjelaskan berhubung pemecatan MU Raja.

Untuk rekod, Sayap Bersekutu Bersatu ditubuhkan pada 2021, selaku cabang parti itu yang mewakili ahli bukan bumiputera.

Pada awalnya sayap itu diketuai bekas ahli parlimen Segamat Edmund Santhara Kumar. Ketika itu, seramai 14 ahli diberikan watikah pelantikan ke jawatan kepimpinan oleh Muhyiddin.

Chong yang juga naib ketua kemudiannya menggantikan Santhara pada Ogos tahun lepas.

Di bawah pimpinan Chong, Mahaganapathy dilantik sebagai naib ketua baru manakala Subramaniam dilantik sebagai ketua penerangan.

Sementara itu, Subramaniam memberitahu Malaysiakini kenyataan Chong itu tidak tepat dan mengelirukan.

"Menurutnya, presiden Bersatu tandatangan watikah baru pada 6 Jun. Namun, saya ada bukti bahawa Muhyiddin tidak tahu isu pemecatan sehingga 10 Jun.

"Pada pagi 10 Jun, Muhyiddin sendiri membalas teks mesej saya bahawa dia tidak tahu mengenai pemecatan dalam sayap Bersekutu.

"Jadi, bagaimana presiden boleh iktiraf pelantikan baru pada 6 Jun, sedangkan pada 10 Jun, dia sendiri berkata bahawa tidak tahu mengenai pemecatan," katanya.

Tambahnya, dia masih menyimpan teks mesej Muhyiddin sebagai bukti.

"Yang kedua, Chong berkata pelantikan baru dibuat pada 6 Jun. Tapi, pemecatan dikeluarkan pada 16 Jun. Macam mana ini.

"Biasanya, pecat penyandang kemudian lantik yang baru. Tapi, Chong lantik yang ahli baru dulu. Lepas 10 hari pecat yang lama. Ini sangat mengelirukan," dakwanya.

Gambar fail, Dr Chong (tengah) pada sidang akhbar.

Menurut Subramaniam, surat bertarikh 16 Jun ditandatangan oleh Penolong Setiausaha Dr Richard Ng memaklumkan "satu jawatankuasa penaja yang baru sedang dalam proses pelantikan".

"Chong kata presiden tandatangan watikah baru pada 6 Jun. Surat pula kata satu Jawatankuasa penaja yang baru sedang dalam proses pelantikan."

"Yang mana satu betul," soal Subramaniam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS