Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM siasat aduan rasuah di KLIA seperti didakwa menteri

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan rasuah yang dibuat Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Tiong King Sing membabitkan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung isu berkenaan.

“Berhubung dakwaan rasuah oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, SPRM akan menyiasat perkara itu.

“Kami akan mendapatkan maklumat daripada semua pihak dan menyiasat sewajarnya.

“Oleh itu, kami menggesa orang ramai supaya tidak mensensasikan atau membuat spekulasi mengenai perkara ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada Khamis lalu, portal BebasNews melaporkan bahawa seorang menteri didakwa melanggar protokol keselamatan dan menyerbu kaunter imigresen untuk "menyelamatkan" seorang pelancong yang ditahan oleh pihak berkuasa.

Tiong mengakui dia adalah menteri yang terlibat dalam laporan itu tetapi mengatakan usaha "menyelamatkan" wanita itu membongkar dakwaan rasuah di kalangan pegawai di KLIA. Menurutnya warga China itu bukanlah orang pertama yang menerima layanan sedemikian apabila tiba di Malaysia.

Dia mendakwa beberapa pegawai imigresen meminta rasuah sehingga RM3,000 daripada pelancong yang ditahan untuk dibebaskan dan dihantar pulang semula ke negara asal.

Menteri itu juga menggesa SPRM menyiasat perkara itu dan mengatakan akan memberikan maklumat yang diperlukan kepada suruhanjaya anti rasuah itu untuk tindakan lanjut.

Kenyataan Tiong bagaimanapun tidak mendedahkan identiti wanita yang diselamatkannya.

Bagaimanapun, The Star memetiknya sebagai berkata bahawa wanita itu adalah kakitangan stesen TV milik kerajaan China, yang tiba di Malaysia bersama-sama dengan pegawai atasannya.

The Star melaporkan pegawai kanan itu dibenarkan masuk oleh pegawai imigresen dan meminta bantuan daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou selepas rakan sekerjanya tidak dibenarkan memasuki negara ini.

Tiong dipetik sebagai berkata, dia menerima panggilan daripada kakitangan konsulat berhubung kejadian itu dan selepas menghubungi SPRM, dia dan bersama-sama pihak berkenaan datang ke KLIA kira-kira jam 3 pagi hari ini.

Sementara itu, kedutaan China di Malaysia berkata pihaknya sedang menyemak dengan pihak berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

“Kami telah melihat laporan berita yang berkaitan dan sedang menyemak dengan pihak berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Kedutaan China di Malaysia amat mementingkan dan melakukan segala usaha untuk melindungi hak dan kepentingan sah warganegara China di Malaysia,” kata seorang jurucakapnya.

Jabatan Imigresen, dalam satu kenyataan, berkata telah memulakan siasatan berhubung kejadian itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS