Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jual anak patung seks menyerupai kanak-kanak: Shopee ambil tindakan

Platform e-dagang Shopee telah mengambil tindakan terhadap beberapa iklan yang dilaporkan menjual patung seks menyerupai kanak-kanak.

Melalui Twitter, Shopee memberi maklum balas kepada individu yang melaporkan penemuan rakannya tentang alat permainan seks untuk dijual dan bagaimana terdapat pembeli untuk anak patung seperti kanak-kanak itu.

"Terima kasih atas laporan anda. Kami telah memaklumkan kepada pasukan berkaitan untuk mengambil tindakan selanjutnya," kata Shopee di Twitter.

Platform e-dagang itu juga menasihatkan orang ramai untuk memfailkan aduan sekiranya mereka menemui penjual atau produk yang disenaraikan di platform yang tidak mematuhi dasarnya.

Ketika dihubungi, @masitah96 mengesahkan dia telah membuat aduan kepada Shopee, serta laporan berasingan kepada Twitter terhadap akaun yang bertindak menggalakkan pedofilia.

Dia juga menunjukkan bagaimana salah satu anak patung yang dijual, dengan harga lebih RM1,000, memakai baju kurung.

Semakan Malaysiakini mendapati penjual telah mengeluarkan hantaran iklan tersebut.

Sementara itu, Shopee berkata pihaknya dengan segera telah mengalih keluar penyenaraian daripada platformnya sebaik sahaja dimaklumkan mengenai perkara itu, selain mengeluarkan larangan kekal terhadap akaun penjual yang berkaitan.

"Kandungan jenis menjijikkan ini tidak mempunyai tempat di platform kami, dan kami sedang menjalankan semakan seluruh tapak untuk memastikan pengguna kami dilindungi daripada penyenaraian sedemikian.

“Kami juga sedang menyiasat penjual terbabit,” kata Shopee pada satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata kementerian sebelum ini menerima aduan serupa dan memajukan perkara itu untuk tindakan lanjut pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

"Iklan (barangan untuk dijual itu) mesti diturunkan oleh SKMM. Itulah cara kami menyekat penjualan itu," katanya.

Memiliki patung seks merupakan antara kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang juga terpakai kepada penjual atau pengedar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS