Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azalina dakwa pembiaya dana dari AS dalang tuntutan Sulu
Diterbitkan:  Jun 30, 2023 3:33 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, mendakwa bahawa pembiaya dana dari Amerika Syarikat (AS) dipercayai dalang dalam kes tuntutan Sulu terhadap kerajaan Malaysia.

Bercakap pada sidang media Kes Malaysia - Sulu di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia di Kuala Lumpur, hari ini,  Azalina berkata ini berdasarkan jumlah pelayar di laman sesawang 'Malaysia-Sulu Case'.

Menurutnya, jemaah menteri sudah dimaklumkan dan pihaknya masih menjalankan siasatan kerana bukti yang diperoleh tidak secara menyeluruh.

"Jadi kita mahu betul-betul mengesahkannya tetapi banyak catatan adalah dari Amerika Syarikat, sebab itu kita maklum dalam laman sesawang kita banyak dari sana (Amerika Syarikat).

"Kita tidak tahu mereka ini yang dari Amerika Syarikat yang seronok hendak melihat negara Asean terbabit dalam proses… saya tidak tahu, tapi ada 'link' yang banyak fokus di Amerika Syarikat," katanya.

Sambil mengakui bahawa perjuangan Malaysia belum berakhir di sebalik keputusan Mahkamah Rayuan di Belanda yang pada Selasa, 26 Jun lalu menolak permohonan mereka yang mendakwa sebagai pewaris bekas kesultanan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah timbang tara AS$15 bilion yang mereka menangi terhadap kerajaan Malaysia, Azalina berkata kerajaan akan melakukan gerakan agresif bagi 'mematikan' tuntutan berkenaan.

"Jaminan kerajaan adalah kami akan lawan habis-habisan kerana tidak akan berkompromi dengan mana-mana ugutan…Kita kena matikan segala gerakan yang dilakukan oleh mereka daripada aspek pendanaan dan daripada aspek tuntutan.

"Kita negara berdaulat, kena ikut undang-undang… kalau mereka betul-betul hendak membuat tuntutan , mereka patut menerima bahawa Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda, sudah memutuskan tiada klausa perjanjian timbang tara yang sah wujud.

"Kita juga akan akan buat satu pendapat perundangan dari segi kajian sama ada kerajaan bersetuju apa tindakan perlu kita buat kepada mereka sama ada perlu kita saman untuk kerugian yang kita hadapi dan sebagainya kerana kos ditanggung amat tinggi.

"Perjuangan ini belum berakhir, tetapi bagi Malaysia kita akan lawan, dan kita lawan secara adil," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS