Paling Popular
Terkini

Tidak sampai tiga hari, susulan ahli Dewan Negara C Sivarraajh mengumumkan keluar daripada MIC, hari ini giliran seorang pemimpin muda dari parti itu berbuat  perkara sama.

Kali ini, Ketua Pemuda MIC Selangor P Punithan mengumumkan keluar dari parti. Dia memaklumkan perkara itu kepada presiden SA Vigneswaran menerusi sepucuk surat yang bertarikh hari ini.

Dalam surat itu, Punithan berkata dia melepaskan  jawatan sebagai Ketua Pemuda MIC Negeri Selangor dan Ketua Pemuda MIC cawangan Bandar Baru Batang Berjuntai (Kuala Selangor) berkuatkuasa serta-merta.

P Punithan, Ketua Pemuda MIC Negeri Selangor

"Setelah berkhidmat dan menjawat pelbagai jawatan di bawah MIC selama 15 tahun  hari ini saya membuat keputusan yang berat untuk meletakkan semua jawatan saya dalam MIC.

"Menerusi surat ini, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pimpinan MIC Pusat, Negeri, Bahagian dan Cawangan di seluruh Negara serta rakan-rakan yang bersama saya sehingga ke hari ini.

"Saya percaya saya telah memberikan khidmat yang terbaik serta komitmen yang tinggi dalam 15 tahun saya berkhidmat bersama MIC," katanya dalam surat itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Punithan mengesahkan bahawa dia telah meninggalkan parti itu.

SA Vigneswaran, Presiden MIC

"Saya mengesahkan keluar dari MIC.  Namun, keputusan tidak terkait dengan saudara Sivarraajh atau mana-mana pihak.

"Keputusan ini adalah keputusan peribadi saya. 

"Saya berharap MIC akan terus menjadi suara masyarakat India di bawah kerajaan perpaduan ini," katanya.

Punithan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa MIC Pusat (CWC) serta pernah menjawat jawatan sebagai setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan dan ketua penerangan Pemuda MIC Kebangsaan.

C Sivarraajh

Sivarraajh pula yang adalah bekas naib presiden parti itu mendakwa keputusannya meninggalkan MIC adalah terbaik buat dirinya dan juga parti memandangkan dirinya dilihat sebagai "ancaman" kepada kepimpinan sedia ada dalam parti.

Sivarraajh dipecat daripada CWC MIC pada awal bulan ini.

Walaupun dia mendakwa dia tidak dimaklumkan sebab pemecatannya sumber MIC memberitahu bahawa tindakan itu ekoran kegagalannya menghadiri program 'Madani Government: Educational Development and Future of Indians' di Shah Alam pada 10 Jun lalu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Program itu dianjurkan oleh Biro Pendidikan MIC dengan sokongan Mitra (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS